Tite buat hal lagi

Iklan
Tite - Foto EPA

PENGENDALI Brazil, Tite sekali lagi mengundang kontroversi apabila mengkritik Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), sejurus kekalahan 0-1 skuad kendaliannya kepada Argentina pada aksi final Copa America 2021 di Stadium Maracana, Rio De Janeiro pada Ahad.

Menurut pengendali berusia 60 tahun itu, skuad kendaliannya itu menjadi ‘mangsa’ terhadap penganjuran Copa America kali ini yang pada asalnya dianjurkan di Colombia dan Argentina, namun 'dialihkan' ke Brazil berikutan peningkatan kes Covid-19 di kedua-dua venue berkenaan.

Iklan
Iklan

Malah Tite turut membiadas CONMEBOL apabila hanya memberikan notis singkat berhubung penganjuran Copa America iaitu selama dua minggu hingga menimbulkan pelbagai masalah.

"Saya bercakap khusus kepada individu yang bertanggungjawab iaitu Presiden CONMEBOL, Alejandro Dominguez yang memutuskan mengenai penganjuran Copa America dalam tempoh masa yang agak singkat.

Iklan

"Selain itu keadaan padang permainan juga dalam keadaan yang buruk dan ini menjadikan pemain terdedah kepada kecederaan, tetapi malangnya saya didenda apabila memperkatakan mengenai perkara ini.

"Bagi saya, perkara-perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku pada kejohanan besar seperti ini (Copa America),” katanya.

Iklan
Peman Brazil, Marquinhos cuba mengekang pergerakan pemain Argentina, Lautaro Martinez pada aksi final Copa America 2021 di Stadium Maracana pada Ahad. - Foto EPA

Aksi final pada Ahad menyaksikan skuad kendalian Tite gagal mempertahankan trofi yang dimenangi pada 2019 apabila tewas 0-1 kepada Argentina hasil jaringan tunggal Angel Di Maria pada minit ke-22.

ARTIKEL BERKAITAN: Argentina sambar trofi Copa America 2021

Sementara itu Tite, turut mengkiritik Argentina yang didakwa sengaja memperlahankan rentak permainan setelah menjaringkan gol pembukaan.

Katanya, selaku pasukan yang berpengalaman, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan perlawanan kedua-dua gergasi bola sepak Amerika Selatan itu seharusnya berlangsung dengan penuh sengit dan penuh debaran.

"Bagi saya perlawanan ini berlangsung agak ‘perlahan,’ terutamanya setelah Argentina mendahului kami. Kami masih mahu bermain tetapi kami dapati Argentina seakan cuba ‘memperlahankan’ perlawanan.

"Sepanjang masa pasti berlaku kekasaran dan pemain Argentina juga dilihat banyak kali ‘terjun’ bagi mendapatkan simpati pengadil,” katanya.