Pemuda OKU terharu diterima bekerja di pasar raya

Iklan
Muhammad Haikal Rezky memandu sendiri kereta untuk berulang alik ke tempat kerjanya di bandar Pontian.

PONTIAN - Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU), Muhammad Haikal Rezky Nasruddin, 25, bersyukur apabila hasratnya untuk bekerja bagi membantu ibunya tercapai.

Muhammad Haikal Rezky adalah OKU yang lumpuh separuh badan susulan kecederaan saraf tunjang selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira lima tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Muhammad Haikal Rezky, selepas kisahnya yang sukar mendapat pekerjaan dipaparkan dalam Sinar Harian pada 2 Julai lalu, sebuah pasar raya telah menghubunginya untuk menawarkan pekerjaan.

"Sebelum ini saya sudah mencari kerja di kedai makan, kilang, bengkel dan sebagainya tetapi semua ditolak kerana mereka mahukan orang yang boleh berdiri dan bukan duduk (berkerusi roda).

Iklan

"Sudah tentu sedih kerana saya mempunyai kemahiran membuat kimpalan, membaiki motosikal dan paip selain kerja-kerja kontrak dan memiliki Sijil Kursus Kejuruteraan daripada Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)," katanya ketika ditemui pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya cuba cari kerja tapi semua ditolak

Muhammad Haikal Rezky berkata, dia seakan tidak percaya sewaktu menerima panggilan tawaran kerja daripada pengurus pasar raya itu pada minggu lalu.

Mas Imran membantu menolak kerusi roda Muhammad Haikal Rezky.

Iklan

"Saya memang memerlukan pekerjaan kerana ingin meringankan beban ibu, Sidah Hamid, 52, setelah bapa, Nasruddin Salleh, 56, meninggal dunia akibat kanser paru-paru, Februari lalu.

"Selain perbelanjaan harian kos perubatan juga perlu ditanggung, saya perlu ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk jalani pemeriksaan kesihatan dua bulan sekali," katanya.

Jelasnya, dia akan bangun seawal jam 6 pagi setiap hari untuk pergi bekerja dengan menaiki kereta yang dipandu sendiri dari rumahnya di Kampung Chokoh ke bandar Pontian.

"Saya tidak mahu susahkan orang lain, sebab itu saya pandu sendiri kereta yang telah diubah suai bagi membolehkan saya memandu dalam keadaan badan saya lumpuh.

"Perjalanan dari rumah ke bandar memakan masa lebih kurang 30 minit, saya akan tiba di pasar raya sebelum jam 7 pagi sebelum mula bekerja dan habis waktu bekerja jam 4 petang," katanya.

Muhammad Haikal Rezky berkata, dia menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.

Sementara itu Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, golongan OKU paling menghargai pekerjaan yang diberikan kepada mereka dengan menunjukkan semangat bekerja yang cukup tinggi.

Mas Imran turut memuji sikap Muhammad Haikal Rezky yang berkerusi roda namun tidak pernah membataskan pergerakannya kerana masih mampu menguruskan diri sendiri termasuk memandu kenderaan yang telah diubah suai untuk ke tempat kerja.