Pemandu dikhuatiri lemas, lori terjunam dalam longkang

Iklan
Anggota bomba daripada Unit PPDA sedang lakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas selepas lori dinaiki terjunam ke dalam longkang besar di KM 137 (arah ke selatan), Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Perai di Bukit Mertajam pada Ahad.

BUKIT MERTAJAM - Seorang pemandu lori dikhuatiri lemas namun kelindannya selamat selepas lori mereka terjunam ke dalam longkang besar di Kilometer 137 (arah ke selatan), Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Perai di sini petang, Ahad.

Dalam kejadian jam 1.34 petang itu, lori terbabit dikatakan berlanggar dengan kereta Proton Persona sebelum terbabas ke dalam longkang.

Iklan
Iklan

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya dimaklumkan pemandu dan kelindan terperangkap di dalam lori manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota bomba sampai di lokasi kejadian mendapati kelindan lori berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

Iklan

"Pemandu yang dikatakan masih terperangkap pula didapati tiada dalam lori," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jurucakap berkenaan berkata, mangsa dipercayai dihanyutkan oleh arus dan dikhuatiri lemas.

Iklan

Katanya, Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Perai serta Butterworth sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di sepanjang longkang besar tersebut.

Setakat ini identiti pemandu lori terbabit belum dapat dikenal pasti.