HULU TERENGGANU - Seramai 186,000 pekerja dari 1,400 syarikat yang berdaftar di bawah Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) dijangka menerima suntikan pertama vaksin Sinovac selepas pelancarannya pada 26 Julai ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pelancaran pertama bagi peringkat permulaan akan dilakukan selepas perayaan Aidiladha melibatkan juruwang, stesen minyak, tukang gunting, pekerja pasar raya dan peruncitan di Mid Valley, Kuala Lumpur.
"Usaha mempercepatkan proses vaksinasi ini bagi memastikan sektor peruncitan dapat menyediakan perkhidmatan yang selamat kepada pengguna.
"Kita juga akan meluaskan suntikan ini ke peringkat negeri dalam masa terdekat," katanya selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang di pekarangan Balai Raya Kampung Tajin di sini, pada Ahad.
Menurut Rosol, lebih 1,500 pemain industri perdagangan, pengedaran dan peruncitan di seluruh negara dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 pada setiap hari bermula 26 Julai.
Beliau berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan sektor peruncitan dapat dipulihkan sepenuhnya dan dibuka secepat mungkin sekali gus mengekang penularan Covid-19.
Dalam pada itu, Rosol berkata, tiada jumlah khusus bagi dos vaksin yang akan dibekalkan kerana ia bergantung kepada keperluan kumpulan itu.