SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Seramai 14 sekeluarga terpaksa tinggal dalam keadaan bersesak di sebuah rumah di Kampung Keda Che Bema di sini akibat kesempitan hidup.
Yusuf Ismail, 57, berkata, dia dan isterinya, Kalsom Baharom, 52, tinggal bersama enam anak berusia dari 14 hingga 39 tahun termasuk seorang berstatus orang kurang upaya (OKU) serta seorang menantu perempuan dan lima cucu.
"Dua anak saya sudah berkahwin tetapi seorang sudah berstatus ibu tunggal.
"Kini lima anak dan seorang menantu turut mencari rezeki keluar menangkul ketam bagi menampung kehidupan," katanya.
Yusuf berkata, dia sekarang duduk di rumah sahaja sebab sudah tak larat untuk bekerja kerana kaki tidak kuat lagi selepas pernah kena strok sebelum ini.
Sementara itu menurut Kalsom, biarpun bersesak dalam rumah, namun mereka tetap tinggal bersama memandangkan tidak mampu menyewa kerana hasil pendapatan menangkul ketam hanya diperoleh sekitar RM400 sebulan.
"Nak buat macam mana, semuanya anak, menantu dan cucu. Kalau tak tinggal di sini, mereka nak duduk di mana? Nak sewa tak mampu," katanya.
Bagi menambah keselesaan, keluarga itu cuba membina ruang lebih besar di belakang rumah dengan menggunakan kayu serta atap rumbia yang menjadi tempat Yusuf dan Kalsom berehat.
Mereka menerima kunjungan wakil rakyat sebelum ini serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyampaikan sumbangan.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Nor Harina Ayob berkata, pihaknya menghantar bakul makanan bagi mengurangkan beban keluarga berkenaan.
Menurutnya, salah seorang ahli keluarga itu berstatus orang kurang upaya (OKU), Muhammad Fitree, 14, kini sedang mengikuti pembelajaran pendidikan khas di sebuah sekolah kebangsaan.
"Kita juga akan mengenal pasti kelayakan seorang anak perempuan mereka yang kini berstatus ibu tunggal sekiranya melepasi syarat bantuan," katanya.