Dakwa 50 kali diperas ugut polis, lelaki warga China diminta tampil

Iklan
Video tular dalam media sosial Youtube berdurasi 41 minit 51 saat dimuat naik pada 3 Februari lalu.

SUBANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga China yang memuat naik satu klip video menerusi laman Youtube diminta tampil untuk membuat laporan selepas mendakwa dirinya diugut oleh polis sebanyak 50 kali di dalam video tersebut.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan menegaskan beliau tidak akan berkompromi terhadap anggota dan pegawai yang menyalahgunakan kuasa.

Iklan
Iklan

"Video yang tular dalam media sosial Youtube berdurasi 41 minit 51 saat dimuat naik pada 3 Februari lalu, telah dilihat sebanyak 46,142 kali dan mengandungi sebanyak 276 komen memaparkan seorang warganegara China menyatakan bahawa dirinya telah diperas ugut oleh polis di Malaysia lebih kurang 50 kali,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, pada masa sama, lelaki tersebut turut mendakwa dia dan rakannya diperas ugut dan dimaki hamun oleh anggota polis semasa dalam perjalanan ke Balai Polis Bukit Puchong selepas mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan.

Iklan

"Penama berkongsi pengalaman di mana pada sekitar tahun 2020, penama dan rakan telah ditahan oleh polis dan dibawa ke Balai Polis Bukit Puchong kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan. Penama mendakwa dirinya telah dipaksa untuk menyerahkan wang berjumlah RM800 supaya dilepaskan.

"Penama juga berkongsi pengalaman ditahan dan diperas ugut oleh penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana cukai jalan tamat tempoh.

"Penama juga ada menyatakan bahawa pihak polis di Malaysia adalah haram dan tidak akan melayan aduan yang dikemukakan,” katanya.

Iklan

Menurutnya, bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati tiada aduan dibuat oleh individu tersebut ke atas semua dakwaan yang dibuatnya di dalam video berkenaan.

Sehubungan itu, Abd Khalid berkata, pihaknya menggesa individu berkenaan untuk menghubungi melalui nombor telefon 03-56210343 atau membuat laporan di balai terdekat agar siasatan secara telus dapat dijalankan.