Atlet negara perlu pamer semangat luar biasa di Tokyo 2020

Iklan
REEZAL MERICAN

KESEMUA 30 atlet negara yang bakal mengharung cabaran di Sukan Olimpik Tokyo bermula bulan ini menunjukkan semangat luar biasa untuk melakar kejayaan di temasya sukan berprestij itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, ia dapat dilihat dalam persediaan dan kesungguhan mereka, meskipun berdepan pelbagai cabaran serta kesukaran susulan kemunculan pandemik Covid-19 berbanding edisi sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Setakat ini mereka (atlet) tidak membangkitkan perkara lain, mereka hanya bangkitkan keinginan serta kesungguhan mereka yang membuak-buak untuk beraksi di Tokyo. Memang benar ada perasaan bercampur baur, ada yang gementar dan ada yang baru pertama kali beraksi di Olimpik.

"Contoh seperti Azreen (atlet pecut wanita 100m Azreen Nabila Alias) yang terpilih ke temasya sukan itu atas tiket"wild card”, dia mahu buktikan bahawa pemilihannya adalah pemilihan yang betul, dan akhirnya menjawab banyak persoalan yang timbul.

Iklan

"Demikian juga dalam kalangan penerjun dan Azizulhasni (Mohd Azizulhasni Awang) sendiri, mereka mempunyai sasaran, mereka rasakan walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan kesukaran yang dilalui - inilah masanya. Tidak ada lagi peluang yang terbaik, inilah masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara dalam talian selepas mengadakan pertemuan dengan atlet negara ke Sukan Olimpik Tokyo secara maya hari ini, yang turut disertai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Kontinjen Datuk Lee Chong Wei.

Iklan

Sukan Olimpik Tokyo dijadual bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos, dengan Malaysia diwakili 30 atlet yang akan beraksi dalam 10 sukan di temasya berkenaan.

Reezal Merican berkata, meskipun atlet terpaksa bertanding dalam norma baharu dengan ketiadaan penonton dan sorakan, namun ia tidak akan menghalang mereka daripada memberikan 100 peratus komitmen apabila melangkah masuk ke ‘gelanggang’.

Pada masa sama, Reezal Merican berkata, tiga sukan iaitu terjun, berbasikal dan badminton kekal menjadi sandaran utama meraih pingat di Tokyo.

"Walaupun begitu, yang lain turut mempunyai keupayaan tersendiri. Secara realistik tiga sukan itu mempunyai prospek untuk menyumbangkan pingat seperti mana yang berlaku di Rio (Sukan Olimpik 2016),” tambah beliau.

SENARAI ATLET MALAYSIA KE TOKYO 2020

MEMANAH

Khairul Anuar Mohamad

Syaqiera Mashayikh

OLAHRAGA

Lee Hup Wei

Azreen Nabila Alias

BADMINTON

Lee Zii Jia

Sonia Cheah

Aaron Chia & Soh Wooi Yik

Chow Mei Kuan & Lee Meng Yean

Chan Peng Soon & Goh Liu Ying

BERBASIKAL

Mohd Azizulhasni Awang

Muhammad Shah Firdaus Sahrom

TERJUN

Nur Dhabitah Sabri

Ng Yan Yee

Cheong Jun Hoong

Pandelela Rinong Pamg & Leong Mun Yee

GOLF

Gavin Green

Kelly Tan

GIMNASTIK

Farah Ann Abdul Hadi

Jeremiah Loo Phay Xing

PELAYARAN

Khairulnizam Mohd Afendy

Nur Shazrin Mohd Latif

Nuraisyah Jamil

Juni Karimah Noor Jamali

MENEMBAK

Nur Suryani Mohamed Taibi

RENANG

Welson Sim Wee Sheng

Phee Jing En