KUALA KRAI - Sedap dan murah. Itu yang boleh disimpulkan mengenai durian Kuala Krai yang menjadi pilihan 'pemburu' raja buah di Kelantan.
Dijual dengan harga serendah RM5 sekilogram menjadikan pemilik kebun durian kampung khususnya di Kampung Mambong, Sungai Rimau, Bahagia dan kawasan sekitar di sini tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Bagaimanapun, bagi mendapatkan durian berkenaan, 'pemburu' raja buah perlu selusur Sungai Galas dengan menaiki bot enjin galah hampir satu jam.
Permintaan tinggi daripada pelanggan itu memberikan rezeki terpijak kepada pemilik kebun sekali gus meredakan tekanan dalam menghadapi pandemik Covid-19 ketika ini.
Ia diakui sendiri oleh penduduk Kampung Mambong, Norazati Razak, 43, apabila dia mampu meraih pendapatan lumayan setiap kali musim durian.
"Alhamdulillah hasil sedikit 'lumayan' berbanding tahun lalu. Setiap hari saya mampu menjual sekitar 40 kilogram (kg) durian," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Ahad.
Menurutnya, kebanyakan hasil kebunnya itu dijual secara terus kepada pemborong yang datang ke Kampung Mambong untuk membeli raja buah tersebut.
"Saya bersyukur kerana durian di kebun berbuah dengan begitu lebat kali ini berbanding tahun lalu.
"Bukan itu sahaja, kebanyakan buah durian yang luruh tahun ini lebih berkualiti dan tidak banyak rosak," katanya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Roslina Che Min, 41, berkata, setiap hari dia akan membawa keluar raja buah itu dengan menelusuri sungai menggunakan bot dari kebunnya di Sungai Rimau untuk ke tebing Tangga Krai sebelum dijual kepada pemborong.
Katanya, selain itu dia turut membuka gerai jualan durian segar berhampiran hentian bas Batu Jong.
"Durian kampung yang saya jual (di hentian bas Batu Jong) ada pelbagai gred dengan harga serendah RM8 hingga RM15 untuk 1kg.
"Alhamdulillah setakat hari ini, kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan durian yang saya jual. Walaupun saiz agak kecil, namun rasa dan isinya setanding dengan baka-baka tersohor," katanya.
Menurutnya, walaupun dalam suasana Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pemborong sanggup merentas daerah dengan izin untuk mendapatkan durian dari Kuala Krai.
Roslina berkata, ini kerana menurut mereka durian dari Kuala Krai lebih mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.