PUCHONG -"Saya sempat bancuh milo untuk suami sebelum dia ke tempat kerja kira-kira jam 6 pagi," kata Khatijah Abdul Karim, 36, isteri Allahyarham Mohamad Suhaimi Khamis, 38 pemandu lori yang maut dalam kemalangan tiga lori, Sabtu lalu.
Menurutnya, dia tidak menyangka itulah pertemuan terakhir bersama suaminya selepas maut terbakar dalam kemalangan Sabtu lalu di Slim River.
"Arwah berkelakuan seperti biasa tidak menunjukkan apa-apa yang pelik dan sempat bertanya mengenai duit belanja sama ada cukup atau sebaliknya.
"Saya tahu berita arwah kemalangan kira-kira jam 9 pagi daripada adik yang menghantar mesej di WhatsApp dan saya terkejut," katanya ditemui dalam program ziarah Exco Kerajaan Negeri, Dr Mariah Mahmud, pagi tadi.
Ditanya tentang perancangan hidupnya katanya, dia tidak merancang sebaliknya melihat kepada keadaan.
"Buat masa ini, saya duduk rumah ibu saudara dulu, bila keadaan dah bertambah baik, barulah saya akan pulang ke Bandar Kinrara, rumah saya bersama arwah suami.
"Sama ada saya perlu bekerja atau tidak, saya tak pasti lagi, tengok dulu keadaan mungkin akan teruskan membuat kuih dan berniaga tapi bukan untuk masa terdekat.
"Saya nak fokus jaga anak-anak dan menunggu masa bersalin anak keempat dijangka Mei ini.. Belum ada apa-apa persiapan dibuat menyambut kelahiran bayi ini lagi," katanya.
"Jika arwah ada mencarum dalam Perkeso, keluarga layak mendapat pampasan dan pembiayaan pendidikan sehingga anak-anak berusia 18 tahun.
"Hal pinjaman rumah itu, kami akan cuba berurusan dengan bank untuk kaedah pembiayaan. Isteri arwah boleh fokus anak-anak atau bekerja dari rumah jika perlu.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul namun saya berharap supaya Khatijah tabah dan kuat meneruskan hidup demi anak-anak," katanya.