KOTA KINABALU - Seorang pengawal keselamatan dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas mengaku salah mencabul kehormatan seorang jururawat.
Tertuduh Mohd Amin Zahari, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Stephanie Dunstan.
Menurut pertuduhan, Mohd Amin didakwa melakukan kesalahan itu di kuarters Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Bukit Padang, di sini pada 5 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mencabul mangsa berusia 34 tahun dengan melakukan kekerasan termasuk menumbuk muka mangsa serta mencekiknya.
Bagaimanapun, mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar daripada rumah untuk mendapatkan pertolongan jiran.
Mangsa kemudian dirawat di Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak, Likas akibat mengalami lebam serta bengkak.
Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.