PENGENDALI Itali, Roberto Mancini menyifatkan kejayaan skuad kendaliannya itu merangkul trofi Euro 2020 membuktikan kejayaan kepada segala kerja keras yang dilakukannya dalam tempoh tiga tahun sejak kegagalan mara ke Piala Dunia 2018 lalu.
Menurut Mancini, pelbagai cabaran telah pun ditempuhinya dalam usaha ‘membangunkan’ semula skuad Azzurri itu di sepanjang tempoh berkenaan.
"Kejayaan ini secara keseluruhannya adalah hasil kerja keras kami sejak tiga tahun kebelakangan ini terutamanya dalam tempoh 50 hari terakhir menjelang saingan Euro 2020.
"Kredit kepada semua pemain yang telah beraksi cemerlang di sepanjang Euro 2020. Mereka bukan sahaja cemerlang di atas padang, tetapi juga di luar padang.
"Di atas faktor-faktor inilah, kami telah berjaya membentuk semangat berpasukan yang kuat dan saya yakin ia akan berterusan selepas ini,” katanya.
Aksi final Euro 2020 menyaksikan Itali ketinggalan 0-1 sewal minit kedua menerusi rembatan jarak dekat pemain England, Luke Shaw yang sekali gus menggamatkan seketika Stadium Wembley.
Bagaimanapun, Itali kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Leonardo Bonucci pada minit ke-67 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan dan seterusnya ke penentuan sepakan penalti yang menyaksikan Itali menang 3-2 setelah pemain gantian, Bukayo Saka gagal menewaskan Gianluigi Buffon di pintu gol.
Mengulas mengenai tangisannya sejurus tamat penentuan sepakan penalti Mancini berkata, tangisan itu secara keseluruhannya adalah luahan emosinya terharap kejayaan Itali pada Euro 2020.
Katanya, tangisan itu juga menceritakan mengenai segala suka duka yang dilalui skuad Azzurri itu terutamanya perjalanan yang ditempuhi untuk beraksi pada Euro 2020.
"Tangisan itu adalah suara emosi saya, apabila menyaksikan perkara yang menakjubkan, menyaksikan semua orang bergembira, penyokong bergembira di tempat duduk penonton dan sebagainya,” katanya.