JAKARTA - Indonesia telah menunda pelaksanaan vaksinasi Covid-19 berbayar menerusi program Vaksinasi Gotong Royong yang sepatutnya bermula pada Isnin.
Penundaan itu terpaksa dibuat memandangkan minat tinggi yang ditunjukkan rakyat selain pertanyaan yang banyak akan program itu.
Iklan
Iklan
Menurut Setiausaha Korporat PT Kimia Farma Ganti Winarno Putro dalam satu kenyataan pada Isnin, penundaan itu perlu untuk memberi tempoh kepada orang ramai mengenali proses vaksinasi itu selain untuk mengatur proses pendaftaran.
Program vaksinasi berbayar itu adalah hasil kerjasama pemerintah dan pihak swasta.
Menurut laporan awal, PT Kimia Farma Diagnostics, sebuah anak syarikat PT Kimia Farma sedang menyediakan sehingga 40,000 dos vaksin berbayar untuk diedarkan di enam bandar raya di Jawa dan Bali.
Sementara itu, menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia setakat Ahad, lebih 36.2 juta orang telah menerima dos pertama vaksin (menerusi program vaksinasi nasional secara percuma), manakala lebih 15 juta telah menerima dos kedua vaksin di Indonesia. -Bernama