KUANTAN – Seramai 500 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Pahang akan terlibat dengan latihan pendigitalan pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts Hasnul Fadhly Hassan berkata, latihan itu bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran dan kesedaran kepada PKS tentang pentingnya pendigitalan perniagaan di era ekonomi digital ketika pandemik Covid-19.
Menurutnya, pihaknya menyokong Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan baru-baru ini dan kini MYNIC giat merancang pelbagai program dan inisiatif yang berteraskan ekonomi digital dengan memberi fokus kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya mereka terus kompetitif dan kekal relevan kepada persekitaran perniagaan norma baharu.
"Jadi, pihak kita secara aktif telah mengadakan program-program webinar yang telah melibatkan lebih daripada 5,000 PKS sehingga kini di kawasan pantai timur Semenanjung.
"Sehingga kini, MYNIC telah berjaya melatih seramai 13,000 orang usahawan di bawah Program Realisasi Impian Ekonomi Digital (PRIME) dan masih meneruskan inisiatif adaptasi digital yang menyasarkan kepada PKS tempatan terutama PKS di luar bandar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pelancaran bengkel secara maya ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota dengan kerjasama MYNIC dan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Majlis tersebut dihadiri Pengerusi MYNIC, Dr Mohamed Awang Lah.
Hasnul Fadhly berkata, kerjasama MYNIC bersama Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota akan dilakukan secara berterusan dalam usaha mendekati usahawan luar bandar supaya mereka boleh mengadaptasi perniagaan dalam talian di samping mengukuhkan penjenamaan produk masing-masing.
Jelasnya, bengkel sehari yang diadakan itu mampu meningkatkan kemahiran PKS dalam menggunakan teknik pemasaran digital dengan berkesan melalui aplikasi pemasaran digital seperti Search Engine Optimization (SEO), pemasaran melalui media sosial dan penambahbaikan kandungan dalam memasarkan perniagaan.
Tambah beliau, peserta juga menerima nama domain BIZ.MY percuma, mengukuhkan penjenamaan perniagaan dan produk, meningkatkan capaian kepada pelanggan dan berpeluang meningkatkan jualan.
Dalam pada itu, Hasnul Fadhly berkata, bimbingan selama tiga bulan akan dilakukan bagi mengukuhkan teknik-teknik yang telah dipelajari.
"Kita akan menggiatkan lagi usaha untuk melatih lebih ramai PKS di Pahang yang bermula di Indera Mahkota dengan latihan-latihan pendigitalan perniagaan.
"Kita berharap agar lebih ramai pihak akan tampil untuk bekerjasama dengan MYNIC bagi menjayakan sebarang inisiatif adaptasi digital seterusnya menyumbang ke arah peningkatan ekonomi negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak MYNIC akan terus memperkasa perniagaan dan industri tempatan untuk menjadi penyumbang kepada ekonomi digital.
"Kita yakin dengan pembangunan industri ICT yang berkembang pesat dan penggunaan nama domain.MY yang meluas, ia akan dapat membantu mengembangkan jenama produk dari Malaysia serta menjayakan inisiatif pendigitalan negara," katanya