ALOR SETAR - Dua wanita antara 31 individu ditahan dalam Ops Soga VIII yang dilancarkan bagi membanteras aktiviti perjudian bermula 12 Jun lepas hingga Isnin, kata Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Beliau berkata, kesemua individu yang berumur 17 hingga 55 tahun itu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pertaruhan judi bola sepak sempena Kejohanan Bolasepak Euro 2020 yang berlangsung selama sebulan.
Iklan
Iklan
"Sepanjang operasi ini, polis telah membuat 27 serbuan di negeri ini dan menahan 29 lelaki serta dua wanita. Selain itu, polis turut merampas 40 telefon bimbit, empat komputer, tiga komputer riba, satu tablet, dua modem dan wang tunai berjumlah RM33,326.
"Hasil siasatan dan risikan polis menganggarkan nilai pertaruhan keseluruhan adalah RM2 juta. Pertaruhan perjudian dijalankan menggunakan aplikasi WhatsApp, WeChat, Wish dan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) serta beberapa laman sesawang lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda hingga RM200,000, jika sabit kesalahan.
Polis akan terus membanteras aktiviti perjudian di negeri ini dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitannya di talian 04-7326999 atau 04-7741403, katanya. - Bernama