SELEPAS banyak masa, tenaga dan kesungguhan dicurahkan, penerjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri menetapkan sasaran peribadi untuk merangkul pingat di Sukan Olimpik Tokyo, Jepun yang juga menjadi penampilan keduanya di pentas Olimpik.
Menimba pengalaman berharga pada edisi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, pemenang pingat emas Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 itu, kini lebih matang dan bermotivasi untuk mencabar kedudukan podium dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Tokyo.
Nur Dhabitah yang menyambut hari jadinya ke-22 hari ini berkata, dia memberikan segala-galanya dalam latihan, menjelang temasya berprestij itu.
"Saya betul-betul berlatih serta berusaha keras mempersiapkan diri, dan tidak dinafikan perjalanan saya ke Tokyo bukan mudah, terdapat juga kepayahan yang saya perlu tempuhi.
"Sudah tentu saya sasarkan pingat seperti atlet lain. Cuma adakah ia milik saya atau tidak, kita bertanding banyak Olimpik pun, kalau bukan kita punya maka bukan kita punya, tetapi memang saya ada keinginan dapatkan pingat dalam penampilan kedua," katanya kepada Bernama di sini.
Bagaimanapun, Nur Dhabitah yang juga pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Asia 2018, masing-masing dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama dan 3m papan anjal individu, enggan meletakkan tekanan ke atas dirinya apabila turun beraksi di Tokyo.
Sebaliknya, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu hanya mahu menikmati detik terpenting dalam kariernya itu, dan mengelakkan sebarang elemen negatif yang mampu menggugat tumpuannya.
"Saya tanam dalam diri sendiri, saya usaha, reda dan tawakal. Saya sudah berusaha dalam latihan dan akan berikan yang terbaik di Olimpik. Jika rezeki saya memenangi pingat, Alhamdulillah, jika tidak saya perlu reda dan tawakal," jelas Nur Dhabitah, yang juga anak bongsu daripada empat beradik.
Pada masa sama, Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017/2018 itu mengakui, cabaran dihadapi sebagai atlet era pandemik Covid-19, memberi satu pengalaman baharu kepadanya.
Meskipun berperang dengan emosi dan mental, apabila tidak dapat berjumpa keluarga susulan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan, kelebihan yang dirasai adalah dia dan rakan seperjuangan, dapat memberikan fokus 100 peratus pada latihan tanpa gangguan.
"Dalam Instagram 'story' penerjun antarabangsa itu, dapat lihat mereka boleh ulang alik berlatih dan berjumpa keluarga macam kehidupan normal, tetapi situasi di sini berbeza. Kelebihannya kita dapat berlatih sepenuh masa, cuma rasa tertekan saja mengganggu sedikit," katanya.
Sementara itu, Nur Dhabitah yang berada pada tahap terbaik menjelang aksi di Tokyo, bakal berdepan saingan sengit terutama dari negara kuasa besar sukan itu antaranya China, Kanada, Australia dan Great Britain, dalam usaha menaiki podium di Tokyo.
Dia berharap dapat mengekalkan tahap motivasi serta tumpuan tinggi ketika ini, selain perlu berwaspada, memastikan dirinya tidak ditimpa kecederaan dalam sesi latihan, menjelang aksinya yang dijadual bermula 30 Julai.
Pada Sukan Olimpik 2016, Nur Dhabitah yang berumur 17 tahun ketika itu, berjaya melangkah ke pusingan akhir acara 10m platform individu wanita dan menamatkan saingan di tempat kesembilan, sementara seorang lagi wakil negara Pandelela Rinong Pamg di kedudukan ke-11.
Sukan Olimpik Tokyo yang dilangsungkan tanpa kehadiran penonton susulan situasi Covid-19 di Jepun, dijadual bermula 23 Julai hingga 8 Ogos. - Bernama