Anwar hantar usul Parlimen boleh bahas Ordinan Darurat

Iklan
Anwar Ibrahim

SHAH ALAM - Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar usul kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin supaya persidangan akan datang dapat membahaskan perkara berkaitan pandemik Covid-19.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, usul tersebut dihantar bagi memastikan ruang perbahasan yang telus dan komprehensif akan berjalan dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen serta lunas-lunas negara hukum.

Iklan
Iklan

"Sidang dewan akan datang mesti membahaskan Ordinan Darurat, situasi pandemik Covid-19, kadar vaksinasi, kadar ujian saringan serta perincian terkait perbelanjaan dan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan,” katanya di Facebook pada Isnin.

Berdasarkan isi kandungan surat berkenaan, Anwar mengemukakan cadangan dengan menyedari hakikat bahawa Proklamasi Darurat melalui Ordinan-Ordinan Darurat (Kuasa- kuasa Perlu) 2021 ternyata gagal mencapai maksud utamanya iaitu melandaikan keluk jangkitan Covid-19.

Iklan

"Selain itu, menginsafi keadaan ekonomi negara semakin parah sehingga pelbagai petunjuk menuju ke arah negara gagal dan menyedari ekonomi rakyat terus meruncing dan kesenjangan kaya dan miskin semakin melebar sehingga wujudnya kumpulan B60.

"Cadangan tersebut juga dicadangkan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang menzahirkan pandangan melalui kenyataan media agar perkara terbabit dapat dibahaskan di Parlimen,” kata surat yang ditulis Anwar itu.

Iklan

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai, manakala sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos.