Covid-19: Gesa kerajaan lakukan perubahan, reformasi drastik

Iklan
Chean Chung

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan melakukan perubahan dan reformasi yang drastik ketika pandemik Covid-19 ini agar ekonomi negara lebih fleksibel dan berdaya saing.

Bendahari Agungnya, Lee Chean Chung berkata, perkara tersebut tidak dilihat berlaku namun kerajaan Perikatan Nasional (PN) sibuk untuk meminta pengusaha perniagaan memohon kebenaran beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) dan pengkategorian yang berubah-ubah.

Iklan
Iklan

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, pelabur-pelabur asing akan melihat kepada situasi politik, persekitaran sosial dan pembinaan infrastruktur sebagai faktor-faktor penting untuk menentukan pelaburan.

"Namun, dalam era pasca Covid-19, tahap pengurusan pandemik dan kemampuan tindak balas kerajaan akan turut menjadi petunjuk atau faktor yang sangat penting bagi pelabur asing.

Iklan

"Jelas bahawa prestasi kerajaan berada di tahap yang tidak memuaskan. Jika masalah struktur ini tidak diselesaikan, saya khuatir Malaysia tidak akan menjadi pilihan utama untuk pelaburan asing pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Chean Chung, aduan rasmi yang dibuat Dewan Perniagaan Jerman dan Jepun di Malaysia berkaitan SOP dan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia adalah satu perkara yang serius.

Iklan

"Kerajaan PN masih tidak memandang serius, sebaliknya terus menafikan kegagalannya dalam menangani pandemik ini dan terus menuduh terdapat pihak-pihak yang tertentu sengaja menjatuhkan imej kerajaan PN.

"Data ekonomi, laporan tinjauan dan pendapatan pelabur adalah petunjuk yang paling sesuai untuk mencerminkan status dan perkembangan ekonomi negara,” ujarnya.

Beliau berkata, Indeks Pemulihan Covid-19 oleh Nikkei Asia menyatakan Malaysia berada di tangga ke-114 di antara 120 negara yang lain.

Selain itu, tambahnya, The Economist yang mengukur indeks negara kembali normal selepas pandemik Covid-19, Malaysia berada di antara 50 negara terakhir.

Pada Jun lalu, Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan bahawa prospek pertumbuhan ekonomi negara adalah cerah dan keyakinan pelabur asing terhadap negara semakin meningkat.

Namun begitu, pada 9 Julai, Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian McFeeters telah mengkritik kerajaan PN kerana mengecewakan pelabur-pelaburnya yang merupakan rakan perdagangan ketiga besar Malaysia.

Beliau juga menyatakan bahawa undang-undang perdagangan yang tidak menentu menyebabkan pelabur hilang minat dan ia telah berlaku sejak dahulu.