MESYUARAT Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.
Persidangan tersebut bertujuan memberi penerangan kepada semua ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan serta peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.
Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Berdasarkan tempoh selama lima hari persidangan, ia sememangnya amat singkat untuk membahaskan isu-isu membabitkan kepentingan negara, lebih-lebih lagi pandemik Covid-19 yang terus menghantui kehidupan seluruh rakyat jelata.
Apakah sesi sidang Parlimen kali ini diatur seperti ‘majlis penerangan’ yang dijangka menjelaskan mengenai Pelan Pemulihan Negara oleh pihak kerajaan kepada ahli-ahli Parlimen?
Sekiranya berlaku sedemikian, sudah tentu ia akan berlangsung seperti taklimat oleh menteri tanpa diberi peluang kepada pihak pembangkang untuk berbahas.
Setelah desakan dibuat pelbagai pihak, sidang Parlimen akhirnya dapat dibuka kembali. Biarpun hanya lima hari, kita berharap semua ahli Parlimen dapat mengambil masa yang terhad itu mengemukakan cadangan dan pandangan bernas demi kepentingan rakyat.
Seperti yang dirancang, masalah pandemik Covid-19 dan bagaimana meningkatkan usaha menyekat penularan serta menambahkan bantuan kepada rakyat yang tertekan bakal menjadi tumpuan perbincangan.
Inilah masa untuk semua ahli Parlimen melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat. Mereka perlulah membangkitkan masalah rakyat dan memastikan kesihatan dan sara hidup mereka terbela sepenuhnya.
Memandangkan kes jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia masih berada di kedudukan yang membimbangkan, kerajaan sesungguhnya memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak, termasuk pihak pembangkang.