'CAC melimpah ruah, 11 jam beratur, lima orang pengsan depan mata'

Iklan
Pesakit perlu melalui lima peringkat sebelum bertemu dengan doktor yang akan menilai tahap jangkitan Covid-19 dialami.

SHAH ALAM - Lebih 11 jam menunggu adalah situasi yang terpaksa ditempuh oleh seorang pesakit Covid-19 sebelum memasuki Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati di sini pada Isnin.

Nurul Riduan Nor Ashaha, 36, yang juga wartawan Meja Premium Sinar Harian berkata, dia tiba di pekarangan stadium kira-kira jam 7.30 pagi walaupun meja pendaftaran dibuka pada 9 pagi.

Iklan
Iklan

"Waktu saya sampai, pekarangan stadium dipenuhi ramai orang. Barisan sudah panjang dan berpusing-pusing,” ceritanya.

Pesakit Covid-19 terpaksa beratur panjang dan menunggu dalam jangka masa yang lama bagi melapor diri di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Shah Alam.

Menurutnya, setiap pesakit perlu melalui lima peringkat sebelum bertemu dengan doktor yang melakukan penilaian tahap jangkitan Covid-19.

Iklan

"Peringkat pertama pendaftaran, peringkat kedua surat menunjukkan kita positif Covid-19, peringkat ketiga melihat berat badan, tinggi dan suhu, peringkat keempat penilaian oleh doktor dan peringkat terakhir pemberian gelang tangan.

"Semasa beratur di peringkat pertama, barisan yang beratur amat panjang. Bayangkan seramai lima orang pengsan di depan mata saya akibat sesak nafas,” ujarnya.

Iklan

Menceritakan lebih lanjut, Nurul Riduan berkata, hanya petugas kesihatan ‘kelam kabut’ apabila pesakit yang mahu melapor diri itu pengsan.

"Mereka yang positif semasa beratur ini tidak ambil peduli tentang nasib mereka yang pengsan itu,” jelasnya.

Individu positif Covid-19 berpusu-pusu untuk melaporkan diri di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati, Seksyen 13, Shah Alam pada Isnin.

Beliau berpendapat, lima peringkat pendaftaran itu sepatutnya dikurangkan bagi menjimatkan masa dan mengelakkan kes lebih ramai yang pengsan semasa mahu melapor diri.

"Tidak perlu banyak peringkat. Sebagai contoh, untuk semak suhu, berat badan dan ketinggian itu boleh dibuat di peringkat pertama semasa pendaftaran.

"Peringkat mahu mengambil gelang itu boleh disamakan di peringkat penilaian doktor. Ini lebih praktikal dan menjimatkan masa,” katanya.