ALOR SETAR - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi membantu membawa mangsa feri terbakar di perairan Kuah, Pulau Langkawi ke Hospital Sultanah Maliha.
Timbalan Pegawai APM Langkawi, Leftenan (PA) Azam Shah Apearal berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3 petang sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira enam minit kemudian.
Beliau berkata, sepasukan anggota APM Langkawi terdiri daripada tiga pegawai tetap dan 15 anggota turut menyalurkan bantuan di Jeti Feri Kuah.
"Sepasukan anggota APM menggunakan sebuah ambulans dan bot penyelamat 32 APM bergegas ke lokasi untuk membantu mangsa.
"Sebaik tiba di sana, kita membantu membawa mangsa-mangsa terlibat ke hospital memberi kaunseling kepada mereka," katanya
Katanya, pihaknya membawa mangsa pertama yang terseliuh kaki kanan dan trauma berusia 54 tahun menaiki ambulans APM Langkawi ke Hospital Sultanah Maliha.
Menurutnya, seorang wanita berusia 26 tahun yang mengalami sesak nafas dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
Manakala, katanya, seorang mangsa dibenarkan pulang menggunakan feri, manakala seramai 49 mangsa lagi dihantar pulang ke Jeti Kuala Perlis menggunakan feri My Master
Menurut beliau, kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan operasi membantu mangsa kini telah selesai dilakukan.