SHAH ALAM - Membesarkan anak-anak angkat yang juga penghidap virus HIV dan AIDS sepanjang tempoh 20 tahun adalah perjuangan yang bukan mudah.
Begitupun Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim), Norlina Alawi berkata, perjuangan yang dilakukan sepanjang tempoh itu tidak akan berhenti sehingga nafasnya yang terakhir.
Menurutnya, ALLAH SWT melihat keperitan hidup anak-anak tersebut dan beliau ingin menaikkan darjat mereka agar dapat merasai kehidupan seperti insan lain.
"Saya sudah menanamkan niat sejak dahulu lagi untuk mewakafkan diri, kudrat, masa dan wang kerana ALLAH SWT.
"Sebenarnya inilah dinamakan cinta tanpa sempadan kepada ALLAH SWT yang diterjemahkan kepada golongan memerlukan.
"Saya menyeru wanita di luar sana jadilah ibu kepada insan yang tidak berdosa dan yang memerlukan kasih sayang, Insya-ALLAH kita akan rasa puas,” katanya menerusi program Sinar Live Mak Untuk Malaysia (MUM) bertajuk Kasih Ibu Bawa ke Syurga, Pilih Jaga Anak AIDS pada Isnin.
Dalam pada itu, Norlina berkata, beliau sentiasa berdoa agar diberikan kekayaan hati untuk menerima segala ketentuan ALLAH SWT kepadanya.
"Sebenarnya kita perlu rasa seronok untuk buat perkara ini, barulah mampu teruskan sampai bila-bila.
"Apabila lihat anak-anak ini bahagia, tidak terlintas dalam fikiran saya untuk berhenti.
Saya nak teruskan sampai akhir hayat,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai isu penderaan kanak-kanak istimewa yang didera di rumah kebajikan baru-baru ini, beliau menegaskan tidak adil untuk anak syurga itu dilayan sebegitu rupa.
"Mungkin anak 'sindrom down' itu ada perangainya sendiri tetapi sebagai ibu, kita perlu maafkan dan layan kerenah mereka.
"Anak istimewa seperti dia sukar untuk faham dan ujian itu sebenarnya kepada orang yang membela.
Kalau nak jaga, jagalah kerana ALLAH SWT,” ujarnya.
Sementara itu, Norlina berkata, dia sebenarnya dalam usaha mencari penerbit yang boleh bekerjasama untuk menerbitkan bukunya.
"Kalau boleh biarlah cerita saya dijadikan buku terus menerus sebab andai kata saya sudah tiada, adalah sedikit buah tangan daripada saya.
"Ilmu kemanusiaan tidak akan ada di sekolah mahupun universiti, dia akan ada dalam jiwa orang yang mengamalkannya.
"Jadi selagi hidup, koreklah rahsia daripada saya. Apa yang baik dan boleh dikongsikan kepada semua, saya akan bantu dengan izin ALLAH SWT,” katanya.