SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mengagihkan 2,000 set makanan ringan kepada orang ramai yang hadir membuat penilaian kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati selama 30 hari bermula Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, set makanan mengandungi roti dan air hasil sumbangan wang Amil (pengurusan) LZS.
"Hari ini, Insya-ALLAH saya bersama team zakat akan berada di CAC Stadium Melawati bagi menyampaikan sumbangan 2,000 bungkusan roti dan air kepada orang ramai yang hadir untuk proses penilaian Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, CAC Stadium Malawati, Seksyen 13 itu seperti berada dalam suasana peperangan apabila lebih 4000 individu positif Covid-19 berpusu-pusu untuk melaporkan diri.
Lebih menyayat hati apabila kanak-kanak dan bayi antara yang disyaki positif turut beratur dan terpaksa berpanas sejak jam 11 pagi bagi melakukan penilaian kesihatan sebelum dilihat beredar kira-kira jam 3 petang.
Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) yang juga koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron berkata, keadaan itu adalah yang paling buruk dalam sejarah CAC setakat ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Lebih 4,000 lapor diri, CAC Stadium Malawati seperti medan perang
ARTIKEL BERKAITAN:'CAC melimpah ruah, 11 jam beratur, lima orang pengsan depan mata'