Manfaat tempoh PKP tanam ubi vitato

Iklan
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Dr Azman Ibrahim (tengah) menuai Ubi Vitato ketika ditemui di Kampung Banggol, Setiu hari ini. Turut hadir Pegawai Daerah Setiu Rosli Latif (kiri). Foto Bernama

SETIU - Enggan mensia-siakan masa terluang sepanjang tempoh kawalan pergerakan, seorang pemuda berusia 19 tahun memberanikan diri mengusahakan tanaman ubi keledek vitato (ubi vitato) walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian.

Muhammad Ikmal Haikal Ab. Mueei yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu di kedai makan ternyata tidak melepaskan peluang apabila ditawarkan menjadi seorang daripada 70 peserta tanaman ubi vitato berkelompok di Kampung Banggol di sini.

Iklan
Iklan

"Saya mula menanam ubi vitato lebih sebulan yang lalu setelah ditawarkan satu ekar tanah (0.40 hektar) untuk diusahakan. Pada mulanya saya teragak-agak juga kerana langsung tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan berkaitan pertanian ini.

"Namun setelah difikirkan saya pun tidak dapat bekerja sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini jadi saya terima tawaran untuk tanam ubi. Pada mulanya memang susah, serba-serbi saya tidak tahu tetapi ramai peserta lain yang lebih berusia dan berpengalaman sudi memberi tunjuk ajar,” katanya.

Iklan

Beliau berkata kepada pemberita pada Program Penuaian Ubi Vitato, di Pusat Tanaman Ubi Vitato Berkelompok di Kampung Banggol, di sini, selain berasa gembira dan tidak sabar menunggu hasil titik peluhnya yang pertama itu dapat dituai dalam tempoh dua bulan lagi.

Muhammad Ikmal berkata, walaupun bidang pertanian kurang diminati anak muda yang seusia dengannya, namun dia bukan sahaja tidak berasa malu malah bercita-cita untuk menjadi seorang petani yang berjaya satu hari nanti.

Iklan
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Dr Azman Ibrahim menunjukkan Ubi Vitato yang telah dituai ketika ditemui di Kampung Banggol, Setiu hari ini. Foto Bernama

"Antara yang saya pelajari sepanjang menanam ubi adalah mengenai disiplin masa dan kerajinan. Rutin saya hampir setiap hari di kebun bermula seawal 7 atau 8 pagi untuk meracun pokok. Pada waktu petang perlu juga ke kebun untuk kemas-kemas kebun atau membaja.

"Lagipun saya usahakan kebun seorang diri jadi perlu bekerja keras sikit. Ada juga ayah (Ab. Mueei Hamid, 62) dan emak (Fatimah Saleh, 50) menolong tetapi mereka pun sudah agak berumur dan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat,” katanya yang mengeluarkan modal RM1,000 untuk mula menanam ubi itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pusat tanaman ubi vitato itu bermula awal tahun ini adalah projek kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC).

"Pusat tanaman itu diusahakan 70 penduduk tempatan. Melalui projek ini setiap peserta disediakan seekar tanah untuk diusahakan tanaman ubi vitato melalui Lesen Pendudukan Sementara. Kami anggarkan setiap ekar mampu mengeluarkan hasil sebanyak 5 tan ubi yang dijual RM1.80 sekilogram.

"Jadi tanaman berkelompok seluas 70 ekar atau 28 hektar ini dapat menghasilkan kira-kira 350 tan ubi vitato dengan anggaran hasil jualan RM630,000. Ubi vitato menerima permintaan yang lebih tinggi pada musim tengkujuh dan harganya juga dijangka akan turut meningkat pada waktu tersebut,” katanya.

Dr Azman mengajak lebih ramai petani termasuk golongan muda menceburi industri tanaman ubi vitato memandangkan ia mempunyai prospek yang tinggi dan mampu menembusi pasaran pasar raya terkemuka terutama di Terengganu. - Bernama