PELUMBA F1 McLaren, Lando Norris menjadi mangsa samun selepas aksi final Euro 2020 antara England dan Itali di Stadium Wembley pada awal pagi Isnin.
Perlawanan tersebut dibayangi dengan aksi ganas penyokong England di luar stadium yang menyaksikan ketegangan dan kekecohan sebelum dan selepas perlawanan berlangsung.
Iklan
Iklan
Menurut laporan portal berita antarabangsa, jam milik Norris bernilai £40,000 (RM198,540) telah disamun sewaktu dia berada di kawasan tempat letak kereta di Stadium Wembley.
McLaren turut mengeluarkan kenyataan mengesahkan perkara tersebut dengan menyatakan Norris tidak dicederakan namun berada dalam keadaan terkejut dan takut selepas dirompak.
"McLaren mengesahkan Norris terlibat dalam insiden tersebut selepas perlawanan akhir Euro 2020 di Wembley yang menyaksikan jam dipakainya telah disamun.
"Norris tidak dicederakan namun dia berada dalam keadaan terkejut dan takut. Pasukan menyokong penuh Norris dan kami juga yakin semua penyokong dapat bersama kami untuk memastikan dia berada pada tahap terbaik di GP British nanti," katanya.
Pihak polis turut mengesahkan seramai 49 penyokong bola sepak England ditahan dan 19 pegawai polis cedera ketika perlawanan akhir tersebut yang menyaksikan trofi menjadi milik Itali selepas menewaskan The Three Lions menerusi penentuan penalti.