SHAH ALAM - Kerajaan perlu menunjukkan usaha dan bertindak melampaui ketentuan perlembagaan dan undang-undang khusus untuk menangani ancaman wabak Covid-19.
Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia memandangkan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan ketika ini bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau menteri di mana ia merupakan situasi yang biasa.
"Kebiasaannya Yang di-Pertuan Agong akan bertindak atas nasihat Perdana Menteri, namun keadaan ketika ini sangat serius.
"Perlu ada keperluan untuk tindakan segera, walaupun tindakan itu bertentangan dengan peruntukan perlembagaan atau undang-undang negara," katanya dalam satu hantaran di blognya pada Selasa.
Tambah Dr Mahathir, kerajaan mungkin mendakwa bahawa sidang Parlimen akan menghalang tindakan yang diperlukan untuk menangani pandemik Covid-19.
Namun menurut beliau, persidangan pada 26 Julai itu hanya untuk memberi penjelasan kepada anggota mengenai rancangan kerajaan untuk menangani wabak tersebut.
"Sudah terbukti bahawa rancangan yang dibuat sebelum ini tidak efektif. Jumlah kes baharu, kematian dan bunuh diri sebenarnya meningkat dalam tempoh darurat," katanya
Dalam kenyataan yang sama, Ahli Parlimen Langkawi itu mencadangkan agar satu jawatankuasa khas sama seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan bagi mengurangkan jangkitan Covid-19.
Dr Mahathir berkata, jawatankuasa tersebut perlu ditubuhkan dengan segera dan diberi kuasa khas untuk bertindak dengan apa cara sekalipun sehingga wabak tersebut tidak lagi menjadi ancaman kepada masyarakat.
"Jawatankuasa ini perlu diberi hak dan kuasa yang sama seperti yang pernah diberikan kepada Mageran sebelum ini.
"Jawatankuasa ini juga perlu dibiayai oleh kerajaan di bawah peruntukan khas yang sesuai dengan keperluan jawatankuasa tersebut.
"Penjawat awam yang terlibat perlu diletakkan di dalam jawatankuasa ini," katanya.