KUANTAN - Pengumuman pelupusan sebahagian hutang peneroka oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memberi kelegaan kepada peneroka dalam situasi harga buah sawit tidak menentu sekarang.
Peneroka Felda Sungai Panching di sini Awang Din, 73, berkata, apabila pengurangan hutang itu mula dilaksanakan, ia sekurang-kurangnya memberi wang lebih kepada peneroka untuk dibelanjakan khususnya dalam situasi getir ekonomi akibat pandemik Covid-19.
"Jika berdasarkan perkiraan kasar yang dibuat, peneroka akan memperoleh lebihan wang sekurang-kurangnya RM250 sebulan yang sudah pastinya boleh membantu kami dalam urusan belanja dapur," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.
Awang yang bergelar peneroka pada tahun 1972 berkata, inisiatif itu juga boleh disifatkan sebagai 'penghargaan' kepada generasi pertama peneroka yang telah berpuluh tahun mengusahakan tanaman sawit sehingga menjadi komoditi penting kepada negara.
Pada sambutan Hari Peneroka Felda 2021 yang berlangsung secara dalam talian pada 7 Julai lepas, Muhyiddin mengumumkan bahawa kerajaan secara dasarnya bersetuju melupuskan sebahagian hutang pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.
Sementara itu, generasi kedua Felda Chini 3 di Pekan, Hasjikiman Othman, 37, berpandangan pihak terlibat perlu memberi penjelasan terperinci mengenai cara pengiraan pelupusan hutang itu supaya peneroka juga dapat mencongak dan seterusnya membuat perkiraan pendapatan yang diterima mereka.
Katanya, ia perlu dilakukan secara kaedah bersemuka atau jika tidak, mesyuarat dalam cara yang boleh disertai peneroka bagi membolehkan mereka bertanya kepada wakil Felda jika ada perkara tidak difahami dalam bahasa mudah.
"Kami berharap pengumuman pelupusan hutang itu membantu meningkatkan pendapatan generasi kedua dan ketiga, apabila kami tidak perlu menanggung hutang orang tua kami yang sudah lama... malah ada antaranya yang sudah meninggal dunia," katanya.
Ketua Peneroka Felda Selancar 3 di Rompin Kordi Hussin, 65, berkata, penyelarasan yang diberikan munasabah dan tidak membebankan golongan peneroka menyebabkan rata-rata peneroka memberi reaksi positif mengenai inisiatif itu.
Beliau berkata, terdapat sekitar 365 peneroka di Felda Selancar 3 dan daripada jumlah itu, 115 peneroka telah menyatakan persetujuan untuk menerima penyelarasan tersebut setakat ini.
"Sebagai contoh, ada pengurangan yang melibatkan hutang pengurusan ladang berjumlah lebih RM100,000 yang selepas penyelarasan, bakinya sekitar RM73,000. Jumlah yang berkurangan agak besar dan sudah pasti ia meringankan beban peneroka," katanya.
Kordin juga berpandangan Felda perlu mempergiatkan penerangan mengenai inisiatif itu supaya lebih ramai peneroka menerima manfaatnya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: 90 peratus daripada jumlah pinjaman peneroka Felda dilupus
ARTIKEL BERKAITAN: RM8.3 bilion hutang peneroka Felda dilupus