KSM bangunkan Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman

Iklan
PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah membangunkan satu Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman (IAQ) bagi membantu mengurangkan penularan virus Covid-19 melalui udara.

Menurut KSM dalam kenyataan pada Selasa, objektif panduan itu adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat mengenai kaedah bagi menambah baik pengudaraan dan kualiti udara dalaman di tempat kerja, kemudahan kesihatan, kediaman dan tempat awam.

Langkah umum yang disarankan dalam panduan tersebut antaranya meningkatkan kadar pengudaraan, mengurangkan jumlah penduduk dalam bangunan, membuka tingkap atau pintu, menggunakan pembersih udara boleh alih dan meningkatkan kemasukan udara segar dari luar bangunan.

Iklan
Iklan

"Antara saranan spesifik pula adalah menggunakan penapis udara yang mempunyai nilai Minimum Efficiency Reporting Value (MERV) 13 atau 14, atau penapis High Efficiency Particulate Air (HEPA) bagi meningkatkan pertukaran udara dan menggunakan kipas.

"Panduan ini perlu dirujuk bersama prosedur operasi standard (SOP) terkini yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan langkah kawalan lain untuk mengurangkan penularan wabak," menurut kenyataan itu.

Iklan

Panduan itu dibangunkan berdasarkan kepada Tataamalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 yang dikeluarkan oleh JKKP dan dokumen setara yang diterbitkan oleh pihak berkuasa negara lain serta organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Menurut KSM, panduan serta infografiknya telah mendapat persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Pertahanan Bilangan 25 Tahun 2021 pada 7 Julai lepas dan telah diluluskan oleh Sidang Khas MKN pada 8 Julai. - Bernama

Iklan