BEIJING - Pakatan Vaksin Global (GAVI) mengumumkan pengeluar vaksin dari China, Sinopharm dan Sinovac telah memeterai perjanjian kerjasama dalam pembekalan vaksin dengan pelan peruntukan vaksin Covid-19 global (COVAX) pada Isnin.
Ketua Eksekutif GAVI, Seth Berkley berkata, ia akan membolehkan lebih banyak vaksin disediakan kepada anggota COVAX.
Iklan
Iklan
Difahamkan, kedua-dua syarikat dari China itu akan menyediakan vaksin kepada COVAX bermula bulan ini untuk membantu dunia khususnya negara membangun dalam membendung penularan Covid-19.
Dengan termeterainya perjanjian tersebut, isu kekurangan vaksin dalam kalangan negara membangun dipercayai akan dapat diatasi.
Menurut GAVI, kedua-dua syarikat itu akan menyediakan sejumlah 110 juta dos vaksin dengan segera susulan varian virus Delta yang semakin mengancam sistem kesihatan awam global.
Mengikut perancangan, GAVI akan membeli 550 juta dos vaksin China sehingga pertengahan tahun depan.
Dalam pada itu, sebelum ini Vaksin dari Sinopharm dan Sinovac turut diluluskan untuk penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jun. - Bernama