BAGAN SERAI - Semua mufti di negara ini bersepakat pembukaan masjid untuk solat berjemaah perlu dilaksana dengan prosedur operasi Standard (SOP) yang ketat sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sentiasa menjadi rujukan supaya berlaku kebersamaan antara mufti dalam soal SOP.
Menurutnya, SOP yang ketat sangat penting dalam memastikan tidak berlaku kluster membabitkan solat berjemaah di masjid.
"Semua mufti sepakat SOP ini perlu diperketat supaya peluang yang ada untuk menunaikan solat berjemaah ini kita jaga betul-betul bagi mengelak kluster masjid.
"SOP penjarakan ketika solat dimasukkan dalam fatwa bahkan di negara-negara lain memang ada diputuskan penjarakan dalam solat berjemaah di negara mereka," katanya kepada pemberita Program Musa’adah 3.0 di Surau Al-Faizin, Taman Serai Permai di sini pada Selasa.
Hadir sama pada program tersebut, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.
Menurutnya, mereka yang mempunyai simptom dan bergejala dinasihatkan untuk elak hadir ke masjid selain yang sihat perlu mematuhi SOP mengimarahkan masjid.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, Yayasan Wakaf Malaysia sedia bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri untuk memajukan tanah wakaf di negara ini.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai hubungan yang rapat dalam membuat perancangan mengenai tanah wakaf.