SEREMBAN - Kehadiran Hafimazatul Ashiqin Kamaruddin, 30, di Bengkel Seri Sembilan di sini untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 mencuri tumpuan pengamal media.
Wanita yang hanya memiliki ketinggian 80 sentimeter dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil.
Hafimazatul Ashiqin merupakan antara 36 peserta bengkel itu yang menerima vaksin pertama pada Selasa dan dia bersyukur kerana tidak perlu pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) biasa.
"Saya lega apabila pihak bengkel memaklumkan boleh mengambil vaksin di sini kerana tidak perlu bersusah payah pergi ke tempat lain.
"Lagipun saya tinggal di Port Dickson dan bimbang dengan keadaan peningkatan kes selain perlu memohon surat rentas daerah," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu Hafimazatul Ashiqin berkata, dia kini tinggal di rumah kakak sepupu di Port Dickson dan sudah dua bulan tidak dapat bekerja susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
"Di bengkel saya buat sampul surat, tapi sejak lepas raya saya tidak dipanggil bekerja. Bosan juga kerana hanya duduk rumah tetapi apa boleh buat keran kami perlu patuh pada arahan," katanya.
Sementara itu Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim berkata, kehadiran Pejabat Kesihatan Daerah melaksanakan proses pemberian vaksin di bengkel itu memudahkan golongan OKU.
Katanya, pemberian vaksin kali pertama dilaksanakan di bengkel itu pada bulan lalu melibatkan seramai 30 peserta bengkel dan kakitangan.
"Kehadiran mereka lebih memudahkan OKU di kawasan ini kerana kami tidak perlu menyewa bas untuk ke sana," katanya.