Semakan Dasar Keselamatan Negara ambil kira ancaman Covid-19: PM

Iklan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) mengaminkan doa ketika meluangkan masa melawat Wad Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang diwujudkan pada 2017 telah disemak semula bagi memastikan segala strategi dasar tersebut sejajar dengan bentuk ancaman semasa, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, DKN versi 2021-2025 telah mengambil kira ancaman Covid-19 dan strategi untuk menanganinya.

Iklan
Iklan

"Penularan pandemik Covid-19 pada skala global bermula Mac 2020 turut memberi ancaman yang berbeza kepada negara dan MKN khususnya," katanya dalam rakaman ucapan sempena sambutan Jubli Emas MKN pada Selasa.

Selain itu, Muhyiddin berkata, pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh MKN turut merangkumi konsep Keselamatan Menyeluruh atau 'Comprehensive Securit'y' (COMSEC) iaitu suatu doktrin baharu bagi menggantikan konsep Pertahanan Menyeluruh atau Hanruh, yang menggabungkan elemen keselamatan dalam negeri, pertahanan, ketenteraman awam, politik, ekonomi, sosial, kesihatan awam serta alam sekitar.

Iklan

"Bagi melaksanakan konsep tersebut, seluruh jentera keselamatan negara di semua peringkat pentadbiran dan seluruh rakyat Malaysia perlu menggembleng tenaga dan usaha untuk menggalas tanggungjawab tersebut," kata Muhyiddin.

Mengenai sambutan Jubli Emas MKN, Muhyiddin berkata, badan itu yang ditubuhkan pada 7 Julai 1971 susulan peristiwa 13 Mei 1969, telah merekodkan pelbagai pencapaian dalam tempoh 50 tahun penubuhannya melalui kuasa untuk menyelaras pelbagai kementerian, jabatan dan agensi dalam menguruskan isu-isu kompleks.

Iklan

Beliau berkata, MKN memainkan peranan menerajui pengurusan keselamatan di setiap peringkat persekutuan dan negeri bagi memelihara hak kedaulatan dan keutuhan wilayah, seterusnya mempertahan kepentingan negara di daratan, maritim, ruang udara dan angkasa serta alam siber.

Perdana menteri berkata, negara semakin berdepan dengan pelbagai ancaman bentuk baharu, sama ada yang dicetuskan oleh ‘aktor’ negara dan bukan negara melalui pendekatan tradisional serta bukan tradisional, dan MKN bersama-sama agensi keselamatan yang lain perlu menguruskan ancaman secara cekap dan berkesan.

"Sebarang bentuk isu dan permasalahan berkaitan keselamatan harus berada pada tahap minimum supaya tidak mengganggu gugat kehidupan rakyat.

"Di sinilah letaknya peri penting MKN yang menjadi peneraju pengurusan keselamatan negara, namun sentiasa berada di sisi belakang tabir. A silent strategist. A silent thinker. A silent doer,” katanya.

Jelasnya, melalui MKN kerajaan telah berjaya menangani insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, menyelaras pelbagai misi evakuasi rakyat Malaysia di luar negara semasa konflik Arab Spring serta mengetuai usaha rundingan damai Selatan Thailand dan Mindanao. - Bernama