Buruh paksa: Malaysia sedia jalin kerjasama strategik dengan AS

Iklan
M Saravanan

PUTRAJAYA - Malaysia sedia menjalinkan kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menangani isu pemerdagangan orang khususnya buruh paksa, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Dalam perbincangannya bersama Duta AS ke Malaysia, Brian McFeeters pada Selasa, Saravanan berkata, beliau telah menyatakan kesediaan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan AS dalam usaha menambah baik penguatkuasaan bagi meningkatkan jumlah sabitan kes buruh paksa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perbincangan dengan McFeeters pada Selasa turut berkisarkan tentang penilaian tahunan 2021 Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS), mengenai pemerdagangan orang.

"Isu buruh paksa terutamanya membabitkan pekerja asing adalah satu isu yang menjadi keutamaan kepada kerajaan, susulan daripada laporan JNAS dan juga beberapa laporan dan kajian oleh pelbagai institusi antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, kajian terbaharu oleh ‘Modern Slavery & Human Rights Policy and Evidence Centre (The Modern Slavery PEC)’ bertajuk"Forced Labour in the Malaysian Medical Gloves Supply Chain during the Covid-19 Pandemic” turut menyentuh isu buruh paksa di sektor pembuatan sarung tangan getah.

Saravanan berkata, bagi menangani isu buruh paksa, tidak hanya kerjasama merentasi pelbagai kementerian dan jabatan atau agensi kerajaan diperlukan, sebaliknya kerjasama dengan negara luar, pertubuhan antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat, juga adalah penting.

Iklan

Dalam perbincangan itu Saravanan berkata, beliau juga memaklumkan kepada McFeeters mengenai inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kementeriannya, bagi menangani isu buruh paksa.

Antaranya termasuklah penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (AKta 265) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), di mana sepanjang tahun 2020 sehingga Jun 2021, sejumlah 194 kertas siasatan telah dibuka.

Beliau juga memaklumkan, KSM dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sedang membangunkan satu Pelan Tindakan Nasional mengenai buruh paksa dan buruh kanak-kanak, yang dijangka dimuktamadkan serta dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

Saravanan berkata, bagi memudahkan aduan membabitkan isu perburuhan, aplikasi mudah alih ‘Working for Workers (WFW)’ dengan 17 kategori aduan telah dilancarkan pada Mei tahun ini (2021), di mana sehingga 11 Julai sejumlah 5,675 aduan diterima melalui aplikasi itu, dan 4,105 daripadanya telah diambil tindakan oleh KSM.

Katanya, KSM sedang meneliti JNAS 2021 dan kajian Modern Slavery PEC bagi memperbaiki langkah-langkah sedia ada, serta memastikan terdapat pendekatan menyeluruh mengenai isu perburuhan. - Bernama