'Rakan PH jangan terpengaruh'

Iklan
Dr Abdul Aziz Bari

IPOH - Pimpinan PH Perak diingatkan agar tidak terpengaruh dengan gimik suspen dimainkan pembangkang yang membangkitkan isu undi tidak percaya bertujuan menjatuhkan Menteri Besar Perak.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, undi tidak percaya bukan satu perkara mudah dilaksanakan sedangkan dalam tempoh 60 tahun mencapai kemerdekaan, belum pernah ia dipraktikkan dalam sistem pentadbiran kerajaan.

Pihaknya percaya, pendedahan dibuat Umno menerusi Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad tidak lain hanya untuk mengganggu hubungan dalam PH dan cubaan mengalih pandangan terhadap isu dihadapi pimpinan parti itu sendiri.

"Untuk rakan dalam PH, kita jangan terbawa-bawa dengan taktik ini, saya kira ia satu bom asap yang dibuat sendiri untuk alih pandangan dan nak menyelamatkan rakan yang mahu lari dari PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang).

"Undi tidak percaya bukan mudah dan hampir mustahil, bila masa ia berlaku di Malaysia, kerana itu jangan sesekali kita dengar wayang dimainkan mereka, jika dilayan inilah yang jadi, semakin karut dan mengarut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Persidangan Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman di Pusat Konvensyen Amanjaya Hotel Casuarina, Meru, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Adun BN Perak bahawa sehingga kini masih terdapat gerakan dilakukan seorang individu yang juga Exco negeri mahu menjatuhkan menteri besar menerusi undi tidak percaya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya yakin dan tidak ragu bahawa PH tidak akan melakukan perkara yang bertentangan dengan sistem perundangan.

Katanya, jika pimpinan PH terus terikut rentak seperti itu termasulah dengan membuat laporan polis dan sebagainya, ia membuktikan bahawa PH semakin masuk ke perangkap Umno.

"Memang sudah ada (laporan polis), barangkali masih trauma dengan insiden 2009 lalu, tetapi dalam politik kita kena belajar 'move on', jangan pedulikan mereka.

"Saya juga harap Umno dapat hentikan segala suspen yang dirasakan satu cerita hebat itu sedangkan tiada siapa pun nak mendengarnya.

"Laporkan saja kepada polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat unsur rasuah mahupun jenayah dalam perkara itu," katanya.