Sinar baharu Three Lions

Iklan
Kapten England, Harry Kane (tiga dari kiri) antara watak utama memacu The Three Lions muncul naib juara Euro 2020. - Foto APF

KEJAYAAN Gareth Southgate membawa England ke pentas final Euro 2020 memberi bayangan The Three Lions bakal menjadi pencabar utama dalam setiap kejohanan utama pada masa akan datang.

Bekas pengendali England, Steve McClaren berkata, Southgate telah membuktikan sentuhannya mampu menerajui The Three Lions ke peringkat lebih tinggi hasil kejayaan muncul naib juara Euro kali ini.

Iklan
Iklan

Malah, McClaren menyifatkan Southgate telah berjaya membentuk skuad terbaik yang mampu lebih menyerlah dengan gabungan pemain senior dan muka baharu.

"Kami akan menjadi pencabar utama dalam setiap kejuaraan bola sepak yang dipertandingkan selepas memberikan impak cukup positif dalam Euro 2020.

Iklan

"Mereka akan belajar daripada pengalaman ini, apatah lagi Euro 2020 telah pun mengembalikan karakter sebenar England dalam arena bola sepak antarabangsa.

"Gareth telah membina sebuah pasukan yang boleh dibanggakan. Dia telah menyatukan negara dan dia telah memberi kami harapan untuk Three Lions lebih bersinar pada masa depan,” katanya.

Iklan

Harapan England untuk mengakhiri kemarau kejuaraan utama selepas 55 tahun sejak menjuarai Piala Dunia 1966 berkubur setelah tumbang dalam aksi final Euro 2020 pada awal pagi Isnin lalu.

Dalam aksi di Stadium Wembley itu, England tewas 2-3 kepada Itali menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit perlawanan.

Peluang England untuk menyambar kejuaraan dalam kejohanan utama kini terarah pada kempen Piala Dunia 2022 yang dijadualkan berlangsung di Qatar.

Pada Piala Dunia 2018, langkah The Three Lions terhenti di peringkat separuh akhir selepas dikecewakan Croatia dengan kekalahan 1-2.