KSM bangunkan Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman (IAQ)

Iklan

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) membangunkan satu Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman (IAQ) dalam tempoh pandemik Covid-19.

KSM dalam kenyataan berkata, objektif panduan itu adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang kaedah bagi menambahbaik pengudaraan dan kualiti udara dalaman di tempat kerja, kemudahan kesihatan, kediaman dan tempat awam dengan tujuan mengurangkan risiko penularan Covid-19 melalui udara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, panduan tersebut perlu dirujuk bersama prosedur operasi standard (SOP) terkini yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan langkah kawalan lain untuk mengurangkan penularan wabak.

Tambah KSM, ia dibangunkan oleh Jawatankuasa Teknikal yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Kimia JKKP dan dianggotai Pakar Bidang Kualiti Udara Dalaman, wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Member of the American Society of Heating Refrigerating and Air-Conditioning Engineers (MASHRAE).

Iklan

"Panduan ini dibangunkan berdasarkan kepada Tataamalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 yang dikeluarkan oleh JKKP dan dokumen setara yang diterbitkan oleh pihak berkuasa negara lain serta organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

"Panduan ini mempunyai empat tetapan yang terpakai kepada premis yang mempunyai sistem pengalihudaraan mekanikal dan penyaman udara (MVAC), penyaman udara tanpa udara segar dan pengudaraan semulajadi.

Iklan

"Ini merupakan salah satu langkah yang perlu dilaksanakan dalam membantu mengurangkan penularan virus Covid-19 melalui udara,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurut KSM, langkah umum yang disarankan termasuklah meningkatkan kadar pengudaraan, mengurangkan jumlah penduduk dalam bangunan, membuka tingkap atau pintu, menggunakan pembersih udara boleh alih dan meningkatkan kemasukan udara segar dari luar bangunan.

Tambahnya, saranan spesifik pula ialah menggunakan penapis udara yang mempunyai nilai Minimum Efficiency Reporting Value (MERV) 13 atau 14 atau penapis High Efficiency Particulate Air (HEPA), meningkatkan pertukaran udara dan menggunakan kipas.

Selain itu, parameter fizikal yang dinyatakan dalam ICOP IAQ 2010 perlu dipastikan berada pada julat boleh terima iaitu suhu antara 23 hingga 26 darjah Celsius dan kelembapan relatif antara 40 hingga 70 peratus.

"Panduan serta infografik ini telah mendapat persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Pertahanan pada 7 Julai dan telah diluluskan oleh Sidang Khas MKN pada 8 Julai.

"Selain hebahan menerusi laman sesawang KSM, KKM, MKN serta portal agensi kerajaan lain, beberapa sesi libat urus juga akan diadakan oleh JKKP bersama pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta persatuan industri yang aktif di Malaysia.

"Kementerian berharap agensi swasta, persatuan, pertubuhan dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH), Malaysian Employers Federation (MEF), The Institution of Engineers, Malaysia (IEM), MASHRAE dan Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) akan bersama menyebar luas panduan dan infografik ini,” ujarnya.

KSM menyeru semua pihak dapat menggunakan panduan itu dalam usaha mengekang dan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di samping meningkatkan pematuhan terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada.

Jelasnya, ia demi kelangsungan ekonomi, sosial serta kesejahteraan pekerja, majikan khususnya dan rakyat negara ini pada amnya.