JOHOR BAHRU - Walaupun bergelar orang kurang upaya (OKU) penglihatan, itu tidak menjadi penghalang Thew Ming Soon, 23, untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Dia yang cacat penglihatan mendapat suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pakar KPJ Johor di sini pada Selasa amat teruja.
"Saya mendaftar vaksin sendiri melalui aplikasi MySejahtera menerusi telefon saya sejak Mac lalu dan Ahad lepas saya terima janji temu untuk suntikan vaksin di KPJ Johor.
"Nasihat saya kepada orang ramai terutama golongan OKU jangan takut nak pergi cucuk vaksin. Semoga kita boleh hidup seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas mendapat suntikan vaksin.
Sementara itu, ibu kepada seorang penerima Delailah Sabtu, 50, berkata, peluang menerima vaksin perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana anaknya antara golongan yang berisiko.
Anaknya, Mohamad Iqbal Haqeem, 21, yang mengalami masalah sindrom menunjukkan reaksi yang positif untuk menerima vaksin.
"Mohamad Iqbal tidak menolak untuk tidak hadir pada janji temu ini malah lebih bersedia menerima vaksin kerana dia sering menonton iklan dan berita program vaksinasi," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd Azhar Abdullah berkata, pihak pengurusan berbesar hati dan berbangga kerana PPV tersebut terpilih sebagai sebuah pusat pemberian vaksin bagi golongan berkenaan.
"Ini adalah sebahagian sumbangan kami kepada negara dalam mencapai matlamat imuniti berkelompok pada tahun ini," katanya.