KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kini berada pada fasa terakhir untuk memuktamadkan sasaran pingat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula 23 Julai ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau akan melaporkan terlebih dahulu kepada mesyuarat kabinet sebelum mengumumkan mengenai sasaran pingat.
"Sasaran pingat akan saya umumkan seminggu sebelum Sukan Olimpik. Saya kena laporkan dulu kepada kabinet dan selepas itu Insya-ALLAH saya akan umumkan.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sudah sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sudah berjumpa dengan pengurus dan jurulatih dan telah berjumpa dengan atlet.
"Esok saya akan laporkan kepada kabinet dan saya akan maklumkan kepada seluruh negara. Saya faham ini adalah sesuatu yang dinantikan oleh seluruh rakyat.
"Namun, yang penting adalah persiapan mereka berada pada tahap yang baik dan persediaan mereka berjuang demi untuk meletakkan nama negara pada persada olimpik ini ditahap yang tinggi,” katanya dalam sidang media secara maya pada Selasa.
Dalam pada itu, Reezal Merican turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan ruang kepada atlet negara membuat persiapan walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana banyak memudahkan persiapan atlet dalam setahun ini.
"Walaupun dalam serba kesukaran tetapi dapat mereka lakukan tanpa ada sebarang sekatan. Kita tahu sektor sukan sosial banyak kali dihentikan, namun ia tidak pernah membabitkan waima sesaat pun atlet yang terlibat.
"Kedua, atlet kita dapat keutamaan untuk menerima vaksin pertama dan ini adalah tumpuan yang diberikan pihak kerajaan. Kerajaan juga sentiasa memberikan keizinan untuk atlet kita pergi mendapatkan kelayakan untuk ke Olimpik.
"Justeru, niat, hajat, aspirasi dan doa kita supaya Olimpik Tokyo akan menjadi medan kita mencatatkan prestasi dan pencapaian keseluruhan yang lebih baik. Untuk Paralimpik juga, kita harapkan pencapaian Malaysia yang lebih gemilang,” ujarnya.