BINTANG seni bela diri campuran, Conor McGregor melaungkan amaran akan kembali semula ke pentas pertarungan sukan lasak tersebut selepas menjalani proses pemulihan kecederaannya.
"Baru sahaja keluar dari bilik pembedahan. Semuanya berjalan mengikut yang dirancang. Malah semuanya berjalan sempurna dan saya berasa amat luar biasa. Enam minggu ini akan menggunakan tongkat, selepas ini kami akan mulai membina semula kekuatan kembali lebih baik dari sebelumnya....," kata McGregor dalam video berdurasi 59 saatnya.
Iklan
Iklan
Atlet dari Ireland berusia 32 tahun itu sebelum ini tewas kepada petarung dari Amerika Syarikat, Dustin Poirier pada penghujung pusingan pertama dalam pertarungan Lightweight UFC 264 di Arena-T Mobile, baru-baru ini.
Dalam pertarungan di Las Vegas itu, McGregor tumbang selepas tersilap langkah ketika mengelak asakan Poirier yang menyaksikan kakinya patah.
Untuk rekod ini merupakan kali ketiga pertemuan kedua-dua atlet sukan tempur tersebut bertemu yang menyaksikan perlawanan pertama pada September 2014, McGregor menewaskan Poirier menerusi TKO pada pusingan pertama.
Pada perlawanan kedua Januari lalu, Poireir kembali menundukkan atlet penuh kontroversi berusia 32 tahun tersebut menerusi TKO di pusingan kedua.
Keputusan terbaharu itu menyaksikan Poirier kini memegang rekod profesional MMA sebanyak 28 kemenangan dan enam kekalahan manakala McGregor pula memegang rekod sebanyak 22 kemenangan dengan enam kekalahan.