KONTINJEN negara yang bakal beraksi di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, tidak perlu untuk merindui makanan Malaysia dan risau mengenai makanan halal, apabila Institut Sukan Negara (ISN) berjaya menghasilkan produk sedia dimakan (ready-to-eat meals) berjenama NUTRIMAS.
Makanan cita rasa Malaysia melalui ‘pack food’ berteknologi tinggi itu, dibangunkan melalui syarikat subsidiari milikan majoriti ISN, International Sports Nutrione Sdn Bhd (ISNOne).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ISN akan membekalkan 1,200 pek kepada kontinjen negara, sepanjang tempoh mereka di Tokyo.
Pek makanan NUTRIMAS yang disediakan mengikut spesifikasi dan keperluan diet atlet semasa pertandingan, terdiri daripada enam sajian tempatan – nasi goreng cina, nasi goreng cendawan, nasi goreng ikan masin, nasi goreng tom yam, nasi briyani ayam dan nasi briyani kambing.
"Usaha ISN menerajui makanan kesihatan yang bakal memenuhi kualiti antarabangsa, khusus bagi atlet-atlet negara. Pakar nutrisi, dietician ISN, bersama para atlet negara, telah terlibat dalam penghasilan ini, yang dapat menjaga kualiti pemakanan mereka, sepanjang berada di Tokyo nanti.
"Selamat maju jaya kepada ISN, dalam usaha mengembangkan penyediaan produk pemakanan kepada seluruh industri sukan di Malaysia, dan tentulah kepada pasaran terbuka suatu hari,” katanya ketika Majlis Amanat Perdana kepada Kontinjen Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, yang diadakan secara maya pada Selasa.
Sementara itu, Reezal Merican menegaskan, para atlet harus mengambil berat mengenai faktor keselamatan mereka pada setiap masa, berikutan protokol ketat yang dilaksanakan Jepun bagi mengekang penularan wabak Covid-19, untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Beliau berkata, atlet bukan sahaja perlu berhati-hati untuk elak dijangkiti, malah berjauhan dengan segala kemungkinan seperti menjadi kontak rapat kepada mereka yang dijangkiti wabak berkenaan, yang boleh menyebabkan mereka hilang peluang untuk bertanding.
"Kita tidak mahu atlet kita berlatih lama, membuat persiapan rapi, tapi akhirnya mereka berjangkit atau kontak rapat. Ikut tafsiran (penganjur) di Jepun, kalau berada kurang dari dua meter tanpa memakai pelitup muka, ia dianggap sebagai kontak rapat dan akan diasingkan.
"Itu akan menyebabkan walaupun tak berjangkit, kerana kontak rapat juga mungkin menyebabkan mereka tak boleh sertai kejohanan itu,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyampaikan Amanat Perdana kepada Kontinjen Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 secara maya.
Seramai 30 atlet negara bakal beraksi di Sukan Olimpik bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini, dan lebih kurang 31 atlet dijangka layak ke Paralimpik yang dijadualkan bermula 24 Ogos hingga 5 September. - Bernama