Kita dan tomyam

Iklan
Sifat tomyam itu sendiri yang sesuai dimakan panas-panas pada waktu malam menambahkan lagi daya penariknya.

"DULU-DULU ada orang kita tak makan tomyam ni. Mereka takut haram sebab ia masakan Siam,” cerita seorang sahabat senior sewaktu kami sama-sama menunggu makanan yang kami pesan di sebuah kedai tomyam siap dibungkus.

"Sampai macam tu?”

Iklan
Iklan

"Ya, kecuali orang di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand atau yang biasa ke negara itu. Yang lain curiga dengan status halalnya,” jelasnya.

"Macam KFC jugalah. Ketika mula masuk ke Malaysia, ramai orang Islam was-was nak makan,” ceritanya lagi.

Iklan

Bermula dengan kisah itu, kami berbual panjang sehingga makanan dibungkus untuk dibawa balik menjadi sejuk. Memang begitulah tabiat saya. Kalau bab tomyam, saya boleh berbual sehingga berjam-jam. Begitu juga kalau bab politik, sukan, buku, seni muzik, seni lukis dan sebagainya.

Kenyataannya, saya memang jenis cepat terpesona pada tomyam. Malah, waktu muda-muda dulu, saya juga sering terpesona pada yang bekerja di kedai tomyam. Bukan yang lelaki maksud saya.

Iklan

Saya tak ingat bila kali pertama saya makan tomyam. Tapi kedai tomyam di Sungai Besar dibawa oleh ADUN Sungai Besar ketika itu berjenama Tomyam 51. Perlahan-perlahan ia menukar menu sate jika terdapat aktiviti keraian. Terkial-kial juga nak menyesuaikan lidah Jawa dengan masakan masam pedas.

Ketika menjejak kaki di Kuala Lumpur, saya cukup ingat satu peristiwa di restoran masakan Thai di Jalan Gombak pada awal 1990-an. Waktu itu Jalan Gombak ke Batu Cave tidak seperti sekarang. Belum bersimpang-siur. Hanya sebatang jalan dua hala yang kerap sesak pada waktu kemuncak.

Di tepi jalan itulah, tidak jauh dari Taman Greenwood menghala ke Batu Caves, ada sebuah kedai menjual masakan panas ala Thai yang kalau tidak salah ingatan saya namanya Restoran P Fatimah.

Di restoran itulah, saya pernah melantak dua mangkuk tomyam secara berturut-turut. Mula-mula tomyam campur, kemudiannya tomyam udang.

Ada tiga sebab. Pertama, sebab memang sedap dan kedua, sebab kawan belanja. Saya tidak pernah mengehadkan jenis tomyam yang saya suka. Bagi saya sama ada tomyam nam sai, tomyam nam khon, tomyam kathi, tomyam kung, tomyam pla dan tomyam apa pun semuanya sedap. Yang tak sedap kalau waktu makan beramai-ramai, waktu bayar saya bersendirian. Sebab ketiga, saya jarang melihat pelayan kedai tomyam tidak cantik. Mungkin ia strategi perniagaan mereka.

Kelantan mungkin menjadi negeri pertama di Malaysia menjadi tempat tomyam bertapak. Ini kerana negeri itu dan wilayah selatan Thai di mana tomyam berkembang – walaupun ia dikatakan berasal dari wilayah tengah Thailand – begitu saling mempengaruhi. Buktinya, majoriti peniaga tomyam bercakap loghat Kelantan-Golok-Pattani. Jarang kita dengar mereka bercakap loghat Thai Utara atau loghat Melayu-Siam Kedah/Perlis.

Thailand

Sehingga tahun 1970-an, orang Malaysia, khususnya di pantai barat Semenanjung tidak kenal tomyam, melainkan mereka pernah berkunjung ke Thailand. Tetapi keadaan mula berubah perlahan-lahan selepas itu.

Tragedi 13 Mei 1969 menyebabkan kerajaan menggalakkan orang Melayu berhijrah ke Kuala Lumpur bagi tujuan mewujudkan demografi lebih seimbang. Seruan itu disahut peniaga masakan panas ala Thai dari Kelantan. Mereka mula bergerak masuk untuk mengadu untung di Kuala Lumpur. Turut mengintai peluang dan mengambil kesempatan ialah peniaga-peniaga dari selatan Thai.

Tempat yang menjadi tumpuan mereka di Kuala Lumpur ialah Chow Kit, sekitar Kampong Baru dan Selayang. Waktu itu muncullah kedai tomyam, kebanyakannya gerai berbumbungkan kain tarpan.

Tetapi perniagaan itu tidak terus popular kerana seperti diceritakan rakan senior saya, penduduk setempat melihatnya sebagai sesuatu yang asing untuk selera mereka.

Hanya setelah memasuki tahun 1980-an, barulah tanggapan itu mula berubah. Restoran dan gerai tomyam mula mendapat perhatian. Konsepnya yang menyediakan masakan panas menjadikan ia dilihat istimewa berbanding dengan lauk-pauk tempatan dan mamak yang biasanya ada dimasak sejak sebelum subuh sehingga selepas Isyak.

Sifat tomyam itu sendiri yang sesuai dimakan panas-panas pada waktu malam menambahkan lagi daya penariknya. Apatah lagi dengan aroma serai, daun limau purut, lengkuas, halia dan sebagainya yang boleh menyebabkan dari jauh lagi air liur berkecar.

Dengan sambutan diterima itu, perniagaan tomyam mula bercambah. Dari Chow Kit, Kampong Baru dan Selayang, ia ‘bergerak’ ke kawasan lain di pinggir Kuala Lumpur. Kita pun tahu tomyam tidak semestinya berwarna merah, ada juga tomyam jernih dan tomyam santan.

Sejarah

Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah. Kedai-kedai tomyam sama ada dalam bentuk restoran berbintamg-bintang atau gerai kecil di tepi jalan mula tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Ia muncul di mana-mana, di merata pelosok negara termasuk Sabah dan Sarawak. Tumbuhnya tidak mengira tempat, sama ada bandar besar, pekan kecil mahupun di kawasan kampung di luar bandar.

Portal atas talian MStar pada terbitan 17 Mac 2016 menyebut Presiden Persatuan Pemilik Restoran Tomyam Thai di Malaysia pada masa itu, Chefri Malasae berkata, pihaknya menganggarkan terdapat antara 5,000 hingga 6,000 restoran dan kedai tomyam yang diusahakan oleh warga Thai di negara ini.

Dan menariknya, kebanyakan restoran dan kedai tomyam itu menggunakan khidmat tukang masak dan pekerja yang dibawa masuk dari Thailand juga.

Dipercayai terdapat lebih 120,000 warga Thai yang bekerja di premis-premis berkenaan. Jarang kita berpeluang melihat warga tempatan bekerja di situ. Sebabnya mungkin mudah difahami.

Pengusahanya barangkali berpendapat hanya ‘hanya jauhari mengenal maknikam’ dan kalau diambil yang ‘bukan jauhari’ bekerja, lain pula jadinya. Berapa banyak pula nilai ringgit mengalir setiap bulan?

Bukan setakat Malaysia, tomyam juga telah menembusi pasaran antarabangsa. Restoran menjual tomyam boleh ditemui di hampir semua kota besar dunia, antaranya Singapura, Jakarta, New York, London, Paris, Moscow, Milan, Berlin, Jeddah, Kaherah, Beirut, Johannesburg, Ankara dan banyak lagi.

Realiti itu menyebabkan ada ketikanya membuatkan saya tertanya-tanya, bilakah agaknya masakan warisan kita mampu melebarkan sayap seperti itu? Lebar dalam erti kata sebenar bukannya carik di sini, koyak di sana.

Kalau tidak mampu pergi jauh sekali gus pun, sekurang-kurangnya kita tembusi pasaran Thailand terlebih dahulu. Kita bergerak masuk ke sana sebagaimana kedai tomyam bergerak, menyusup masuk ke sini.

Bayangkan ada restoran, kedai dan gerai menjual masak lemak tempoyak atau nasi lemak atau rendang tok atau apa sahaja yang kita punya, tumbuh macam cendawan selepas hujan, juga bukan sahaja di Bangkok, Chiang Mai, Chiang Rai, Hat Yai, Songkhla, Krabi, Yala, Golok, Danok dan Satun, tetapi juga di Trang, Om Noi, Phetchaburi, Mukdahan, Mae Sai, Lopburi, Surin, Khon Kaen, Lampang serta semua bandar, pekan dan kampung di negara itu.Bayangkan setiap kali tiba musim Aidilfitri dan Aidiladha, orang Malaysia berderet-deret hendak menyeberang sempadan balik ke mari untuk beraya.

Maksud saya, yang berderet itu adalah anak bangsa kita yang berniaga dan bekerja di kedai makan Melayu/Malaysia di sana, bukannya yang balik daripada berurut dan berseronok suka-suka.#dush!

*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia