KOTA BHARU - Membawa insipirasi arwah kedua-dua ibu bapanya, Aftisa Ahmad Fahmy menzahirkan minat dan kepakarannya melalui penghasilan kek lukisan.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini meminati dunia lukisan sejak berumur lima tahun lagi dibantu dengan dorongan dan sokongan daripada arwah bapa, Ahmad Fahmy Hamid yang sentiasa menyediakan kelengkapan lukisan seperti warna air dan kanvas.
"Saya masih ingat lagi, arwah ayah akan buat pertandingan antara kami adik- beradik bila ada masa terluang sebab ayah tahu kami minat melukis. Selepas melukis, kami akan makan kek atau apa-apa saja masakan yang arwah mak buat.
"Mak saya (Maheran Ismail) pula cikgu memasak dan pencen di sebuah sekolah di sini. Jadi, memasak dan dunia lukisan ini memang sebati dalam diri saya, sebab itu saya cuba cantumkan dua insipirasi ini dalam satu kelainan," katanya kepada pemberita ketika di temui di rumahnya di Kampung Belukar Panji, di sini pada Selasa.
Aftisa, 49, memberitahu, arwah bapanya meninggal dunia pada Mac tahun lalu, manakala ibunya pula meninggal dunia lima bulan kemudian tahun yang sama.
Menurutnya, sejak kehilangan dua permata hatinya itu, dia tekad untuk mengabadikan kenangan bersama arwah melalui lukisan yang dihasilkan.
Berkat kesungguhannya, dia mula memasuki kelas-kelas pembuatan kek dalam talian bagi menambah lagi pengetahuan sedia ada.
"Saya sudah ada kepakaran asas untuk buat kek cuma saya tambah lagi ilmu pengetahuan ini untuk mempelbagaikan supaya kita dapat menguasai pembuatan kek itu dengan lebih mendalam.
"Pada masa sama, saya cuba cari kelas-kelas lukisan yang boleh saya pelajari kerana lukisan di atas kek bukanlah sebagaimana di atas kanvas biasa.
"Itu belum lagi bab penggunaan bahan dalam lukisan berkenaan, ia memerlukan pewarna yang sesuai bagi memastikan lukisan yang dilakukan tidak 'lari' daripada warna asal," katanya.
Pernah gagal beberapa kali, namun ia bukan halangan kepada anak sulung daripada tujuh beradik ini untuk terus mencuba sehingga terhasilnya kek lukisan yang cantik dan menarik.
Memerlukan kesabaran yang tinggi, Aftisa memberitahu, dia perlu meluangkan masa 30 minit hingga satu jam setiap kali menyiapkan lukisan di atas kek, sama ada corak biasa mahupun potret.
"Kek pun tidak akan dibakar pada suhu biasa kerana saya akan perlahankan suhu sehingga minimum dan tunggu hampir dua jam bagi memastikan struktur lukisan tidak terjejas. Kalau kek biasa, sejam pun sudah memadai.
"Biasanya harga ini terletak pada lukisan berkenaan, paling minimum antara RM35 hingga RM60. Bila dapat gambar daripada pelanggan, saya akan imbas dahulu menggunakan satu aplikasi bagi memudahkan saya nampak dengan jelas wajah yang perlu dilukis, bila sudah bersedia, barulah id lukis dengan teliti,” katanya ketika ditemui.
Membawa pesanan arwah ibunya yang tidak ‘kedekut’ ilmu, Aftisa mahu kepakarannya dikongsi masyarakat dengan membuka kelas lukisan sendiri dalam talian. dan ia mendapat sambutan yang mengalakkan.
Melalui Facebooknya, dia membuka kelas Pjj Marble Vintage By Kektiss dan berharap ia dapat dimanfaatkan pelbagai pihak selain membantu mereka yang memerlukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.