KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 5.5 tan hasil laut susulan penahanan tiga bot nelayan tempatan Kelas C2 yang dikemudi nelayan Vietnam di perairan Terengganu pada Isnin.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tiga bot berkenaan ditahan bersama 24 kru warga Vietnam yang disyaki mencuri hasil laut negara.
Iklan
Iklan
"Hasil pemeriksaan mendapati, nelayan asing termasuk tekong yang berusia antara 21 hingga 52 tahun itu mengemukakan dokumen pengenalan diri atau pasport meragukan.
"Kita turut merampas sebanyak 3,500 liter bekalan diesel dan 5.5 tan hasil laut," katanya menerusi satu kenyataan, malam Selasa.
Muhammad Suffi berkata, kesemua bot yang ditahan jam 5 petang pada kedudukan 40 batu nautika dari Kuala Terengganu itu dipercayai melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter (mm).
Katanya, bot bersama kru berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.