KLANG - Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menafikan Jabatan Kecemasan dan Trauma 'dikosongkan' berikutan lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.
Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, kenyataan yang tular di media sosial itu tidak benar kerana jabatan berkenaan sememangnya penuh dengan pesakit.
Menurutnya, pelan kontigensi telah diambil sebelum ini oleh pengurusan bencana peringkat hospital dengan memindahkan pesakit Covid-19 ke Wad G2 dan G3 serta Kompleks Rawatan Harian (ACC).
"Pada 8 Julai lalu, wad G2 dan G3 yang berdekatan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma telah dikenalpasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.
"ACC pula pada 9 Julai lalu telah dicadangkan untuk ditukarkan fungsinya sebagai wad sementara merawat pesakit Covid-19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan dalam ruang yang selesa," katanya.
Justeru, katanya, kriteria untuk menempatkan pesakit Covid-19 ke Wad Covid-19 berisiko rendah adalah atas keputusan pihak pengurusan wad dan ia bukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Jelas beliau, trend semasa di Jabatan Kecemasan dan Trauma menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah antara 150 sehingga 180 pesakit.
"Pesakit yang masih belum menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma setakat Selasa seramai 177 pesakit," katanya.
Sebelum ini, tular di Facebook berhubung perbualan WhatsApp kononnya lawatan perdana menteri menyebabkan Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR Klang 'dikosongkan'.