MAFI perkasa kawalan biosekuriti

Iklan
Ronald (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan bekalan makanan haiwan kepada salah seorang wakil penerima daripada lapan jabatan dan agensi Perhilitan yang terpilih.

SHAH ALAM- Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Jun lalu bersetuju dengan cadangan tindakan pengukuhan dan pemantauan pengimportan daging susulan isu produk daging sejuk beku yang diimport secara tidak sah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, antara cadangan tindakan yang dipersetujui adalah pengukuhan pemantauan dan penguatkuasaan dalam mengatasi ketirisan melibatkan pengimportan daging, menambah baik kaedah pemantauan pengimportan serta transit produk daging dengan memperkukuh prosedur operasi standard (SOP).

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan lain ialah memperhalus syarat-syarat transit bagi tujuan transit dan transshipment serta melaksanakan kajian semula bagi memperkemaskan peruntukan akta dan peraturan sedia ada termasuk Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Pada masa yang sama, bagi memperkasa dan memperkukuhkan lagi aspek biosekuriti dan keselamatan makanan negara, MAFI juga sedang mengkaji cadangan mewujudkan Pusat Kuarantin Setempat atau One Stop Quarantine Centre (OSQC) selaras dengan agenda sekuriti makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum itu, Ronald membuat serahan sumbangan bekalan makanan haiwan kepada lapan jabatan dan agensi berupa produk daging sejuk beku hasil rampasan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang telah dilucuthakkan yang membabitkan kes dari bulan Februari sehingga April 2021 di Pelabuhan Klang.

Turut hadir, Timbalan Menteri MAFI 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Ketua Pengarah Maqis, Dr Azhari Sharidan Abu Bakar; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Maqis, Siti Nur Ahmad dan Pengarah Maqis Negeri Selangor, Zamri Hashim.

Iklan

Mengulas lanjut, Ronald berkata, cadangan penubuhan OSQC itu adalah rentetan risiko penyakit atau perosak yang dibawa bersama dagangan dan OSQC yang memenuhi standard antarabangsa dikaji untuk dibangunkan di pintu masuk negara.

Ronald (tiga dari kanan) dan tetamu yang hadir melihat produk daging sejuk beku.

"Ia bagi memastikan setiap dagangan agromakanan melalui proses pemeriksaan dan kuarantin yang komprehensif di pintu masuk sebelum diimport masuk atau dieksport ke luar negara,” jelas Ronald.

Beliau berkata, buat masa ini, negara tidak mempunyai satu pusat kuarantin setempat yang dilengkapi dengan teknologi-teknologi terkini di setiap pintu-pintu masuk bagi membolehkan pemeriksaan komprehensif dilakukan.

"Secara umumnya, OSQC yang dicadangkan ini akan mempunyai lima fungsi iaitu virus/pengesan mikroorganisma, proses disinfeksi, pusat kuarantin, sijil kuarantin dan pencegahan aktiviti yang tidak sah."Selain pembangunan infrastruktur dan fasiliti, projek berkenaan juga akan melibatkan cadangan pembangunan sistem teknologi maklumat tersendiri untuk membantu proses traceability dan automasi,” kata beliau.

Ronald berkata, selain memperkukuhkan lagi kawalan biosekuriti dan keselamatan makanan negara, cadangan penubuhan OSQC tersebut juga akan menggalakkan perkembangan ekonomi dan perniagaan khususnya produk agromakanan dan e-dagang serta meningkatkan kebolehpasaran produk agromakanan negara di peringkat antarabangsa.

Ronald turut membuat penyerahan sumbangan bekalan makanan haiwan kepada wakil-wakil di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), antaranya Zoo Taiping Perak, Zoo Melaka, pihak Lost World of Tambun Perak, National Wildlife Rescue Center (NWRC) Perak serta kepada pihak Penjara Penor Pahang, Penjara Pengkalan Chepa Kelantan dan Penjara Marang Terengganu.

Ronald berkata, MAFI melalui Maqis komited melaksanakan tanggungjawab sosial untuk membantu dan memberi sumbangan kepada mana-mana jabatan atau agensi yang memerlukan seperti pihak zoo dan pihak penjara.

"Sitaan tersebut akan dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli bagi projek rehabilitasi banduan di penjara serta sumber makanan haiwan di zoo dan pusat konservasi hidupan liar,” kata Ronald.

Beliau memberitahu, sumbangan yang diserahkan pada Selasa di bawah program MAFI Prihatin adalah produk daging sejuk beku yang dibawa masuk secara tidak sah dari pelbagai negara yang secara keseluruhannya berjumlah 54 tan dengan nilai rampasan sebanyak RM1.5 juta.

Jelasnya, kesemua serahan itu adalah hasil daripada sitaan terhadap pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses lucut hak di bawah kesalahan Seksyen 11 (1) dan 15 (1), Akta 728.

"Maqis sebagai benteng utama bagi menjaga jaminan bekalan dan keselamatan makanan khususnya keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara.

"Maqis akan terus menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang negara dalam memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak atau penyakit merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal di semua pintu masuk negara demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.