SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan satu pertimbangan dengan memikirkan bahawa pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tujuannya adalah untuk melindungi pencarum pada masa hadapan.
Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, kerajaan seharusnya mengambil kira keadaan semasa berbanding sebelumnya.
"Kalau kita lihat, kebanyakan mereka yang aktif adalah pencarum yang umurnya masih lagi muda iaitu dalam lingkungan umur 40 tahun ke bawah. Jadi, mereka ini mempunyai jangka masa panjang.
"Di sini kita perlu fikir, adakah sepatutnya mereka dibenarkan mengeluarkan semaksimum yang boleh. Kita perlu berikan mereka peluang dan bagi sebanyak yang boleh mengikut keperluan terutama dalam keadaan amat mendesak sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-273 bertajuk ‘Moratorium & i-Citra: Semua Duit ‘i’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program yang dikendalikan Ismail Adnan itu turut menampilkan Pakar Ekonomi Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor dan Presiden Persatuan Jaringan Usahawan Wanita, Nuraizah Shamsul Baharin sebagai panelis jemputan.
Mengulas lanjut, Madeline berkata, pihak KWSP juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan masa depan pencarum terjamin.
"Krisis pandemik Covid-19 ini bukan yang terakhir. Sebab kita akan berhadapan dengan persediaan krisis-krisis yang akan datang. Jadi, sebaiknya perlu ada pertimbangan antara memenuhi keperluan semasa dan juga masa depan pencarum untuk jangka masa panjang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, semua pihak ketika ini berdepan dengan satu situasi yang menguji dari segi dasar.
Jelas Madeline, kebanyakan bank mencatatkan keuntungan berlebihan tahun lepas malah ada pihak mendakwa bank mengambil kesempatan di atas kesusahan rakyat.
"Dalam konteks ini, ramai orang mendakwa kerajaan berlemah-lembut dengan pihak bank disebabkan mereka banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Di satu pihak memang betul pun.
"Bagaimanapun, saya berpendapat, pihak bank masih ada ruang. Inilah waktu terbaik untuk mereka memikirkan cara untuk membantu rakyat yang betul-betul tersepit. Apa yang kita nak ialah yang bersasar, bukan untuk keseluruhan,” katanya.