MUAR - Pejabat Parlimen Muar diarah ditutup oleh polis setelah menerima kehadiran 'luar biasa' orang ramai ke pusat berkenaan untuk menerima bantuan sejak Ahad lalu.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihak polis telah datang ke pejabat itu pada Selasa dan mengarahkan ia ditutup.
Beliau memaklumkan, sejak Ahad lalu, Pejabat Parlimen Muar giat mengagihkan bantuan makanan yang baru sampai kepada 5,000 keluarga di Muar.
"Biasanya ada kira-kira 150 keluarga datang setiap hari. Tapi sejak dua hari lepas (Ahad), jumlah keluarga yang datang telah naik tinggi. Orang sedang susah, lapar dan sakit, mereka wajib dibantu.
"Pejabat saya tak boleh tolak orang yang mahu datang. Nak suruh mereka pulang sebab orang ramai, tak sampai hati. Rakyat Parlimen Muar adalah tanggungjawab saya," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan, beliau dan pasukannya sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi semasa pengagihan bantuan makanan berkenaan.
Jelasnya, mereka menyediakan sistem kupon yang mana 100 kupon setiap hari untuk mengambil bantuan makanan kepada 100 keluarga.
Selain itu, katanya, khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga digunakan untuk mengawal situasi di luar pejabat.
"Kami sudah hantar surat, mohon pihak polis untuk bantu jaga semua yang hadir ke pejabat.
"Saya juga sudah agihkan sejumlah bantuan makanan kepada semua ketua kampung untuk agihkan di kawasan masing-masing.
"Had jumlah pengunjung ke dalam pejabat juga kami buat. Yang lain, perlu beratur dengan jarak sesuai di luar pejabat," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, ramai lagi rakyat yang memerlukan bantuan makanan segera dan beliau tidak boleh dan tidak akan sesekali halang rakyat di Parlimen Muar untuk datang ke pejabat itu.
Penutupan itu, katanya, akan menyebabkan edaran bantuan makanan akan lebih lambat sampai ke tangan keluarga penerima.
Jelas Syed Saddiq, bantuan rumah ke rumah ada dibuat, tetapi mengambil masa dan beliau kini memikirkan cara lain untuk mengedarkan bantuan dengan cepat.
"Realitinya, ramai lagi rakyat Parlimen Muar yang susah, lapar dan sakit. SOP memang dipatuhi, tetapi saya memang tidak boleh kawal jumlah penerima yang datang ke pejabat.
"Kalau mahu kenakan kompaun kepada orang ramai yang datang ke pejabat, saya minta jangan kompaun mereka. Kompaun saya tak apa. Pejabat itu di bawah kawal selia saya.
"Urusan bantuan makanan ini pun urusan saya dan pejabat saya. Jangan tambah beban rakyat Parlimen Muar. Mereka hanya mahu bantuan sampai ke tangan keluarga mereka," ujarnya.