TURKI memanggil Duta Greece pada Selasa bagi membantah tindakan para pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens yang menghalang kemasukan para pemain dan pengurusan kelab bola sepak Galatasaray berhubung isu ujian Covid-19.
Kelab itu dijadualkan menentang juara liga bola sepak Greece, Olympiakos dalam perlawanan persahabatan pada Selasa.
Namun, ia terpaksa dibatalkan kerana para pegawai lapangan terbang tersebut tidak menerima ujian Covid-19 yang telah dilakukan oleh kelab bola sepak dari Turki itu.
Ujian itu tidak diterima oleh para pegawai lapangan terbang tersebut kerana menurut protokol negara berkenaan, para pelawat dari Turki perlu menjalani ujian Covid-19 dalam tempoh 24 jam.
Namun, para pemain dan pengurusan skuad bola sepak Galatasaray membuat ujian tersebut dalam tempoh 72 jam sebelum mereka tiba di lapangan terbang tersebut.
Timbalan Menteri Perlindungan Awam Greece, Nikos Hardalias dan para pegawai lapangan terbang tersebut dilaporkan berkata sebelum ini bahawa kelab bola sepak tersebut enggan menjalani ujian Covid-19 dan bertindak menaiki sebuah pesawat untuk pulang semula ke tanah air mereka.
Bagaimanapun, kelab bola sepak itu mengadu di laman sesawang mereka dengan mendakwa para pegawai lapangan terbang tersebut melayan mereka dengan cara yang tidak wajar dan berkelakuan sombong, lapor AFP.
Kelab bola sepak Galatasaray turut menuntut permohonan maaf berhubung kejadian itu.
Agensi berita Turki, Anadolu melaporkan, Ankara membantah layanan terhadap kelab bola sepak itu selepas Kementerian Luar negara tersebut memanggil Duta Greece, Michael-Christos Diamessis berhubung isu berkenaan. - Agensi