SHAH ALAM - Rintihan rakyat yang terkesan dengan krisis pandemik Covid-19 yang masih berlarutan ketika ini, didengari kerajaan, dengan menyediakan pelbagai bantuan berterusan yang disalurkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Pakej rangsangan ekonomi bernilai RM150 bilion, yang merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion itu, diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.
Kempen tersebut menyediakan bantuan menyeluruh kepada semua segmen rakyat daripada golongan B40 Miskin, B40, M40 hingga T20.
Pemberian bantuan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) itu bertujuan membantu meringankan beban rakyat semasa tempoh mencabar dalam memerangi pandemik, seiring inisiatif Pelan Pemulihan Negara (PPN).
PPN yang diumumkan 15 Jun lalu itu menjadi panduan atau 'roadmap' peralihan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berfasa.
Peralihan ini juga bersandarkan kepada tiga indikator iaitu bilangan kes harian COVID-19, kadar penggunaan katil di wad ICU dan peratusan rakyat yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Walaupun sehingga kini tujuh negeri telah beralih ke Fasa 2, masih ada negeri belum mencapai nilai ambang untuk beralih ke fasa seterusnya.
Ini menyebabkan rakyat terus dihimpit masalah kewangan ekoran kehilangan pekerjaan dan juga pengurangan pendapatan.
Agenda prihatin
Menerusi PEMULIH, kerajaan meneruskan agenda prihatin rakyat seperti pakej rangsangan ekonomi terdahulu, dengan yang terjejas mendapat lebih bantuan secara berterusan sehingga akhir tahun ini.
Bantuan itu menyaksikan perbelanjaan kerajaan bagi tahun 2021 melebihi perbelanjaan 2020. Bantuan bagi separuh kedua tahun 2021 yang diberikan kerajaan juga lebih banyak daripada separuh pertama.
Inisiatif utama yang dilakukan kerajaan bermula dengan penyaluran bantuan tunai secara langsung berjumlah RM10 bilion dari Jun hingga Disember 2021, yang memanfaatkan isi rumah miskin tegar, B40 dan M40.
Bantuan tunai itu merangkumi bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) fasa ketiga berjumlah RM2.8 bilion dan bayaran BPR Tambahan RM2.1 bilion menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan.
Ia turut membabitkan Bayaran Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang diperkenal di bawah PEMULIH berjumlah RM5.1 bilion.
Jumlah bantuan RM10 bilion itu jauh lebih tinggi berbanding RM4.7 bilion bantuan tunai yang disalurkan dari Januari hingga Mei lalu.
Tambahan bantuan
Kerajaan turut menambah baik program bantuan bakul makanan menerusi peruntukan berjumlah RM180 juta untuk tempoh Jun hingga Disember depan.
Program itu sebelum ini diperkenal di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dengan peruntukan RM50 juta yang diagihkan dari Januari hingga Mei lalu.
Ia ditambah baik di bawah PEMULIH yang memperuntukkan tambahan RM80 juta yang diagihkan ke semua kawasan Parlimen dan juga untuk komuniti Orang Asli.
Di bawah inisiatif bakul makanan ini juga, kerajaan mewujudkan program MyKasih dengan pemberian baucar makanan bermula Julai melibatkan peruntukan RM100 juta.
Rakyat semua kategori turut mendapat manfaat daripada kawalan harga minyak masak menerusi PEMULIH, membabitkan peruntukan berjumlah RM1 bilion berbanding peruntukan RM400 juta dari Januari hingga Mei lalu.
Menerusi pakej PEMULIH juga, rakyat yang terjejas akan menikmati insentif mencari pekerjaan berjumlah RM100 juta yang baharu diperkenal.
Sejak pandemik melanda negara, kerajaan telah melaksanakan lapan program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan RM530 juta, selain peruntukan turut disalurkan menerusi Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion bagi meringankan beban rakyat.
Layari https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/ untuk mengetahui dan memastikan apakah jenis bantuan atau manfaat yang layak anda terima.
REAKSI RAKYAT - B40 Miskin
"Suami tiada kerja sejak PKP 1.0 lagi. Dua anak kami pula sakit dan salah seorang perlu pembedahan. Kami bergantung pada bantuan ini dan jual kuih depan rumah." - Penjual kuih, Nor Hafizah Zainuddin, 35.
"Duit bantuan saya guna untuk beli ubat kerana saya pesakit kanser tulang. Bantuan bakul makanan dan subsidi minyak masak pula dapat tampung belanja dapur saya." - Peniaga kecil, Che Wan Zawawi Che Wan Jusoh, 56.
"Sejak PKP 3.0, kilang ditutup dan saya cuma dapat gaji pokok. Duit BPR, BKC, moratorium dan i-Citra saya guna untuk keperluan anak dan barang dapur." - Pekerja kilang automotif, Shaizq Khir Abdul Fatah, 24.
"Bantuan ini meringankan beban keluarga saya. Saya boleh guna untuk belanja harian dan bayar bil api air." - Petani moden, Mohd Sabri Zulman, 32.
"Saya lega. Bantuan BPR, moratorium, i-Citra dapat pastikan kami terus ada duit poket untuk perbelanjaan harian." - Pemilik pusat pengajian al-Quran, Wan Muhammad Zawawi Wan Hassan, 38.
"Saya akan mohon i-Citra. Duit tu akan saya simpan untuk kegunaan masa depan terutama ketika terdesak sebab kita tak tahu bila krisis ini akan berakhir." - Suri rumah, Nurul Ain Mazlan, 28.
"Alhamdulillah saya dapat keluarkan i-Citra sebanyak RM5,000. Wang ini saya simpan untuk kegunaan kecemasan dan pendidikan empat anak." - Tenaga pengajar institut kemahiran, Muzir Salim, 44.
"PKP 3.0 menjejaskan bisnes saya. Jadi kemudahan i-Citra yang diberi tanpa sebarang syarat ini boleh saya gunakan ketika keadaan kritikal sekarang." - Pemilik kedai ikan hiasan, Mohd Fajiha Alaihis Mustaffa, 31.