Maritim tahan dua bot nelayan tangkap ikan luar kawasan

Iklan
Antara hasil tangkapan ikan diperolehi nelayan yang menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan dikesan Maritim Malaysia di sekitar perairan Langkawi dalam tempoh 24 jam.

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan dua bot nelayan tempatan kelas C kerana menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan dengan menggunakan pukat tunda di sekitar perairan Langkawi dalam tempoh 24 jam sejak Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan menerusi rondaan bersepadu OP Benteng dan Op Aman bagi mengekang pencerobohan serta jenayah maritim di utara perairan negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penahanan pertama melibatkan sebuah bot nelayan tempatan kelas C sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan yang dikesan Kapal Maritim (KM) Tenggol berhampiran Pulau Singa Besar sekitar jam 11.44 pagi Selasa.

"Ketika dihampiri, mereka didapati sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan dengan menggunakan pukat tunda pada kedudukan 12.7 batu nautika barat daya, Pulau Singa Besar, Langkawi.

Iklan

"Melalui pemeriksaan, bot dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga Thailand berusia antara 45 hingga 61 tahun didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zawawi berkata, hasil daripada maklumat awam, bot ronda Maritim Malaysia turut mengesan sebuah lagi bot nelayan tempatan disyaki melakukan kesalahan yang sama di posisi sekitar 2.4 batu nautika barat laut, Pulau Rebak Besar, Langkawi sekitar jam 1 pagi Rabu.

Iklan
Sebuah bot nelayan kelas C dikesan menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan dengan menggunakan pukat tunda pada kedudukan 2.4 batu nautika barat laut, Pulau Rebak Besar, Langkawi pada Rabu.

Tambah beliau, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan enam kru termasuk tekong warga tempatan berusia antara 18 hingga 40 tahun sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

"Susulan itu, kedua-dua bot Kelas C, kru serta dua tekong bersama hasil tangkapan anggaran setengah tan ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut," katanya.

Ujarnya, kedua-dua kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan kesalahan menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara," katanya.

Orang ramai dan komuniti maritim khususnya dimohon agar dapat bekerjasama dalam menyalurkan laporan berkenaan aktiviti jenayah di laut menerusi panggilan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis yang beroperasi 24 jam sehari di nombor talian 04-9662750 atau MERS 999.