SHAH ALAM - Jabatan Penjara Malaysia menangguhkan perjumpaan keluarga bersama penghuni sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di semua penjara sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.
Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bagi menggantikan perjumpaan tersebut, Jabatan Penjara membenarkan dan memberikan keutamaan penggunaan sidang video melalui e-mel jabatan (Icewarp) bermula 21 sehingga 25 Julai 2021.
Menurut kenyataan itu, penggunaan kaedah tersebut hanya dibenarkan kepada keluarga yang membuat tempahan.
"Hanya satu panggilan sahaja dibenarkan untuk memberi peluang kepada penghuni yang lain.
"Tempahan boleh dibuat mulai hari ini melalui dua kaedah iaitu panggilan telefon di penjara dan e-mel atau surat ke penjara berkenaan,” jelas kenyataan itu pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, penjara-penjara berkaitan akan menetapkan tarikh perjumpaan dengan tempoh masa bergantung pada situasi semasa penjara berkenaan.
"Penghuni juga dibenarkan menggunakan kemudahan telefon prabayar yang disediakan untuk menghubungi keluarga sekiranya perlu.
"Sila hubungi penjara berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan boleh dapatkan maklumat di laman web Jabatan Penjara Malaysia www.prison.gov.my,” kata kenyataan itu.